Diterbitkan pada 21 April 2026, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Program Minggu Kesedaran Kesihatan Mental bertemakan “Secangkir Teh Bersama Minda” bagi meningkatkan kesedaran, memperluas pemahaman serta menggalakkan ekspresi diri dalam kalangan mahasiswa terhadap isu kesihatan mental.

Program yang dilaksanakan secara hibrid dan menggabungkan aktiviti secara dalam talian dan fizikal itu bertujuan untuk memperluas kebolehcapaian serta meningkatkan pelibatan pelajar, di samping menyediakan platform untuk mereka mengekspresikan isu kesihatan mental melalui pendekatan kreatif.

Inisiatif ini diterajui oleh Pengarah Program, Puan Har Huan Yu yang merakamkan penghargaan atas komitmen tinggi jawatankuasa pelaksana serta sokongan fakulti dan penasihat program, YBrs. Profesor Madya Dr. Yanti Rosli dan YBrs. Dr. Shirley Tang Gee Hoon dalam memastikan kelancaran penganjuran.

Majlis Penutupan Program Minggu Kesedaran Kesihatan Mental yang berlangsung petang semalam di Dewan Tun Syed Nasir, UKM telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Prasiswazah) FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Mazlyfarina Mohamad.

Majlis Penutupan Program Minggu Kesedaran Kesihatan Mental disempurnakan dengan gimik penutup yang menarik dan penuh simbolik.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program ini adalah selaras dengan usaha UKM memperkukuh kesejahteraan psikologi warga kampus serta memupuk budaya keterbukaan dalam berkongsikan emosi dan pengalaman.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif dan pertandingan seperti video pendek satu minit serta pertandingan melukis diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan memberikan ruang kepada ekspresi kreatif, selain reruai seperti Papan Peringatan, Bengkel Batu Kebimbangan dan Bengkel Lukisan Batu yang menawarkan pengalaman bermakna kepada para peserta.

Reruai interaktif yang disediakan oleh pelajar bagi menyediakan ruang ekspresi kreatif berkaitan dengan isu kesihatan mental.

Sesi ceramah kesihatan mental juga dianjurkan untuk memberikan pendedahan berkaitan dengan pengurusan emosi dan kesejahteraan psikologi, sekali gus membantu pelajar lebih peka terhadap penjagaan kesihatan mental.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UKM dalam meningkatkan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan pelajar agar mereka lebih berani mendapatkan sokongan serta mampu mengurus tekanan dengan lebih baik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi