Diterbitkan pada 17 April 2026, 17:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang — Universiti Putra Malaysia (UPM) menerajui penganjuran International Data Science Challenge 2026 (IDSC2026) bersempena dengan Hari Matematik Antarabangsa dengan menghimpunkan 605 orang peserta dari lima negara bagi memperkasakan penggunaan sains data dan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan.

Perkembangan teknologi digital kini menjadikan data sebagai asas penting dalam menyokong diagnosis, rawatan dan pengurusan sistem kesihatan yang lebih cekap, sekali gus membolehkan pembangunan penyelesaian yang lebih tepat, responsif dan berasaskan bukti melalui pendekatan matematik dan sains data.

Pertandingan yang bertemakan “Mathematics and Hope” itu dianjurkan oleh Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains, UPM sebagai platform ilmiah bagi menggalakkan pembangunan penyelesaian berasaskan data yang praktikal dan relevan dalam sektor kesihatan.

Menurut Dekan Fakulti Sains, UPM, YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Azwady Abd Aziz, penggunaan sains data dan AI dalam kesihatan perlu disertai dengan tahap kebolehpercayaan yang tinggi serta ketelusan model melalui pendekatan explainable AI bagi memastikan penerimaan meluas dalam kalangan pengamal kesihatan.

Penganjuran program ini dipimpin oleh YBrs. Dr. Ahmad Hakiim Jamaluddin selaku pengerusi dengan sokongan YBhg. Profesor Dr. Norihan Md Arifin serta kerjasama daripada tokoh akademik dan profesional kesihatan termasuklah YBhg. Profesor Leong Wah June, YBrs. Dr. Mohd Izzun Nasheef Mohamad Hasmuri dan YBrs. Dr. Naim Abdul Malek, selain jaringan antarabangsa melibatkan universiti dari Indonesia serta sokongan dari Persatuan Sains Matematik Malaysia.

Sebanyak 189 pasukan daripada 62 institusi termasuklah universiti dari Malaysia, Indonesia, Australia, India dan Tajikistan telah menyertai pertandingan ini, sekali gus mencerminkan sambutan antarabangsa yang memberangsangkan.

Untuk meningkatkan kualiti penyertaan, dua bengkel secara dalam talian telah dianjurkan merangkumi bidang sains data dan pembelajaran mesin oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi serta bengkel kemahiran pembentangan oleh YBhg. Datin Dr. Ghazila Ghazi.

Tangkap layar sesi Bengkel Sains Data dan Pembelajaran Mesin.

Daripada jumlah penyertaan tersebut, sebanyak 129 pasukan telah berjaya menghantar projek berasaskan set data bioperubatan daripada PhysioNet sebelum dinilai oleh 33 orang juri akademik dan 10 pasukan terbaik dipilih ke peringkat akhir.

Tangkap layar sesi Bengkel Kemahiran Pembentangan.

Pada peringkat akhir, pasukan terpilih membentangkan penyelesaian AI klinikal kepada panel juri yang terdiri daripada pakar akademik dan ahli profesional kesihatan dengan penilaian tertumpu kepada ketepatan analisis, kualiti model, kerelevanan klinikal serta kejelasan penyampaian.

Tangkap layar sesi pembentangan peringkat akhir.

Bagi edisi 2026, tempat pertama dimenangi oleh kumpulan Bioinformers dari Universiti Malaya, diikuti oleh GAMA BCI dari Universitas Gadjah Mada di tempat kedua dan MultiU (gabungan Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan UPM) menduduki tempat ketiga.

Tempat keempat pula dimenangi oleh kumpulan BANG SADA dari Universitas Brawijaya, manakala tempat kelima menjadi milik Ventriculearn-11 yang melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia dan University of Bengkulu, sementara lima lagi pasukan terbaik ialah Team 108, abjrit, GlaucoNet, FD2 dan VZ.

Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai dan sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap inovasi penyelesaian berasaskan data yang dihasilkan.

Secara keseluruhannya, penganjuran IDSC2026 telah membuktikan peranan strategik matematik dan sains data dalam memperkukuh pembangunan sistem penjagaan kesihatan melalui platform kolaborasi, pembangunan bakat dan pertukaran ilmu merentas institusi serta negara.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini serta projek para pemenang boleh diperoleh melalui laman rasmi IDSC2026.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi