Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerajui projek pemuliharaan hutan berteknologi pintar di kawasan Central Forest Spine (CFS) Gerik, Perak selepas menerima geran antarabangsa berjumlah RM3 juta menerusi inisiatif EduGreen@UPSI hasil kerjasama strategik antara Procter and Gamble (P&G) Amerika Syarikat dengan World Wide Fund for Nature (WWF–Malaysia) di bawah program Nature Pillar bagi pelaksanaan Integrated Smart Bioacoustic Project for Wildlife and Forest Conservation.
Menurut Naib Canselor UPSI, YBhg. Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, projek tersebut memfokuskan pembangunan teknologi konservasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), Internet benda atau Internet of Things (IoT) dan bioakustik pintar bagi memperkukuh pemantauan biodiversiti serta keselamatan hutan secara masa nyata di kawasan CFS.
Beliau berkata, peranan UPSI sebagai peneraju projek itu mencerminkan keupayaan institusi berkenaan dalam menggabungkan kepakaran teknologi dan penyelidikan bagi menyokong agenda pemuliharaan hutan negara.
Katanya,
Melalui penerapan teknologi AI dan IoT, UPSI berupaya membangunkan sistem pemantauan hutan secara masa nyata yang lebih cekap dan berimpak tinggi dalam usaha melindungi hidupan liar serta ekosistem hutan.
Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran program Nature Pillar WWF–Malaysia dan P&G Amerika Syarikat di Belum Rainforest Resort, Perak yang menghimpunkan kepimpinan industri global, organisasi konservasi antarabangsa serta delegasi UPSI sebagai rakan strategik utama pelaksana projek.
Tambah beliau, kerjasama strategik bersama-sama WWF–Malaysia dan P&G Amerika Syarikat turut membuka peluang pelibatan yang lebih luas dalam kalangan penyelidik, pelajar serta komuniti setempat.
Program Nature Pillar di pihak WWF–Malaysia diterajui oleh YBrs. Dr. Karthigayan Gunasegaran yang menyelaras pelaksanaan strategik inisiatif konservasi berimpak tinggi bersama-sama rakan industri global dan institusi akademik termasuklah UPSI.
Projek berkenaan diketuai oleh YBhg. Profesor Dr. Che Zalina Zulkifli dari Fakulti Komputeran dan Meta–Teknologi, UPSI sebagai ketua projek yang menerajui pembangunan sistem pemantauan hidupan liar bersepadu berasaskan teknologi pintar.

Pasukan penyelidik EduGreen@UPSI turut melibatkan YBrs. Dr. Nor Asiah Mohamad @ Razak, YBrs. Dr. Okta Nurika, YBrs. Dr. Salem Abdullah Salem Garfan, YBrs. Dr. Mad Helmi Ab Majid dan YBrs. Dr. Suhazlan Suhaimi, manakala YBhg. Profesor Dr. Ridzwan Che Rus bertindak sebagai Ketua Subprojek Ekologi yang menyokong pembangunan rangka kerja saintifik pemetaan biodiversiti serta analisis habitat secara bersepadu di kawasan CFS.

Ujarnya lagi,
Kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai institusi pendidikan yang memimpin inovasi teknologi konservasi hutan tropika berasaskan AI dan IoT di Malaysia serta rantau ini.

Turut hadir ialah Pengerusi WWF–Malaysia, YBhg. Tan Sri Abdul Wahid Omar bersama-sama barisan pengurusan tertinggi WWF–Malaysia serta wakil kepimpinan P&G Amerika Syarikat.