Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Persidangan Saintifik Tahunan Ke-62 anjuran Malaysian Society of Parasitology and Tropical Medicine (MSPTM) telah berlangsung dengan jayanya pada 30 hingga 31 Mac 2026 lalu di M Roof Hotel, Ipoh, Perak dengan tema “Bridging Science and Society: Community-Based Research to Fight Against Infectious Diseases”, yang menekankan kepentingan penggabungan inovasi dan penemuan saintifik dengan pelibatan komuniti dalam usaha menangani penyakit berjangkit.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Feisul Idzwan Dato’ Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, manakala Presiden MSPTM, YBrs. Profesor Madya Dr. Lucas Low Van Lun, dalam ucapan alu-aluannya telah menekankan peranan penting masyarakat saintifik dalam menyokong dasar kesihatan awam negara.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Persidangan, Dr. Chen Chee Dhang, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara ini, termasuk para penaja dan rakan strategik.

Persidangan yang berprestij ini telah menghimpunkan lebih 300 orang peserta dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada penyelidik, ahli akademik, pengamal kesihatan serta pelajar dan menjadi platform penting perkongsian ilmu, pembentangan hasil penyelidikan terkini serta perbincangan strategik dalam bidang parasitologi, entomologi perubatan, sains veterinar dan penyakit bawaan vektor.
Sebanyak 88 kertas penyelidikan telah dibentangkan menerusi 10 sesi yang merangkumi pembentangan lisan dan pembentangan poster dan disertai dengan dua syarahan utama, tujuh sesi plenari dan lapan sesi jemputan khas yang disampaikan oleh pakar tersohor dalam bidang masing-masing yang mencerminkan pendekatan holistik dalam memahami serta mengawal penyakit berjangkit yang semakin kompleks.
Objektif utama penganjuran persidangan ini adalah untuk merapatkan jurang antara sains dengan masyarakat menerusi penggalakan penyelidikan berasaskan komuniti bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada intervensi yang praktikal dan berkesan di lapangan, khususnya dalam menangani cabaran penyakit tropika dan zoonotik yang semakin meningkat.
Selain aspek akademik, persidangan ini turut memberikan penekanan kepada pembangunan bakat muda melalui pelibatan pelajar prauniversiti dengan penganjuran tiga sesi khas melibatkan pelajar Kolej Matrikulasi Perak dan beberapa buah sekolah menengah sekitar Ipoh yang bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada aplikasi sebenar sains biologi, di samping memberikan inspirasi mengenai laluan kerjaya dalam bidang sains dan penyelidikan.
Persidangan ini juga menyediakan ruang jaringan profesional yang luas melalui sesi interaksi rasmi dan tidak rasmi antara peserta, termasuk makan malam persidangan dan sesi perbincangan santai yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta untuk membina kolaborasi strategik antara institusi akademik, agensi kerajaan dan industri, sekali gus memperkukuh ekosistem penyelidikan negara.
Persidangan ini turut mengetengahkan kepentingan pendekatan multidisiplin dalam menangani isu penyakit berjangkit yang merumuskan bahawa cabaran kesihatan kini tidak lagi boleh ditangani secara berasingan, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara pakar dalam bidang bioperubatan, kesihatan awam, ekologi serta sains sosial dalam memahami interaksi kompleks antara manusia, haiwan dengan persekitaran, sejajar dengan konsep One Health yang semakin mendapat perhatian pada peringkat global.
Di samping itu, penekanan terhadap penyelidikan berimpak tinggi dan translasi hasil kajian ke lapangan turut menjadi fokus utama persidangan ini yang diharapkan dapat mempercepat pemindahan ilmu daripada makmal kepada komuniti, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan masyarakat dan pengukuhan sistem kesihatan negara.
Barisan Majlis MSPTM sesi 2026/2027 juga telah diperkenalkan dengan pelantikan baharu Presiden, Cik Adela Ida Jiram dari Institut Penyelidikan Perubatan yang menyatakan harapan agar MSPTM akan terus maju sebagai platform unggul dalam memacu kecemerlangan penyelidikan dan kerjasama dalam bidang parasitologi dan perubatan tropika.
