Diterbitkan pada 15 Mac 2026, 15:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Dalam dunia moden yang bergantung pada rangkaian perdagangan global, sebahagian besar pergerakan barangan antarabangsa berlangsung melalui laut.

Namun begitu, di sebalik kecanggihan kapal dagang, sistem navigasi digital dan operasi logistik rentas benua, kelancaran sektor maritim tetap bergantung pada manusia yang mengemudikannya, iaitu pelaut.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara maritim strategik, profesion ini bukan sahaja penting kepada kelangsungan ekonomi, malah semakin relevan dalam landskap teknologi maritim, sains kelautan dan pembangunan ekonomi biru negara.

Menurut pensyarah kanan dan penyelaras latihan industri Teknologi Marin Lestari, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis), YBrs. Ts. Puan Zamzila Erdawati Zainol, pelaut memainkan peranan penting dalam memastikan operasi kapal berjalan secara cekap dan selamat, sekali gus menyokong aktiviti eksport dan import negara.

Peranan tersebut amat signifikan memandangkan Malaysia terletak di laluan perdagangan laut yang strategik dan menjadi antara hab maritim penting di rantau Asia Tenggara.

Beliau menjelaskan bahawa pelaut bukan sekadar tenaga kerja di atas kapal, malah merupakan komponen penting dalam ekosistem logistik dan keselamatan maritim negara.

Kecekapan mereka dalam mengendalikan operasi kapal secara profesional membantu memastikan pergerakan barangan, bahan mentah dan keperluan pengguna terus berjalan lancar, di samping menyumbang kepada pendapatan negara melalui sektor perdagangan dan perkapalan.

Katanya,

Pelaut memastikan operasi kapal yang efisien dan selamat, sekali gus menyokong eksport dan import negara. Peranan mereka bukan sahaja penting dari sudut ekonomi, malah turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa maritim serantau.

Dalam landskap industri maritim moden, tugas pelaut kini semakin berkembang seiring dengan kemajuan teknologi.

Mereka bukan sahaja perlu mahir dalam aspek pelayaran dan pengendalian kapal, malah turut dituntut menguasai penggunaan sistem elektronik bersepadu seperti Electronic Chart Display and Information System (ECDIS), radar navigasi, sistem pengenalpastian automatik (AIS), teknologi komunikasi satelit, pemantauan prestasi enjin secara digital serta perisian keselamatan operasi kapal.

Sebagai tulang belakang industri maritim, pelaut mengemudi kelancaran logistik laut yang menjadi nadi kepada eksport, import dan rantaian bekalan negara.

Perkembangan ini menjadikan kerjaya pelaut hari ini lebih dekat dengan ekosistem teknologi maritim pintar, sekali gus membuktikan bahawa profesion tersebut bukan lagi terhad kepada kerja fizikal semata-mata.

Sebaliknya, pengembangan kerjaya industri tersebut menuntut penguasaan dalam bidang sains gunaan, kejuruteraan sistem, pengurusan risiko, analitik operasi dan keupayaan menyesuaikan diri dengan transformasi digital yang semakin pesat dalam industri maritim global.

Beliau turut menegaskan bahawa kekurangan pelaut berkemahiran tinggi boleh membawa implikasi besar kepada negara.

Antara kesan paling ketara termasuklah gangguan terhadap rantaian bekalan, memandangkan sebahagian besar barangan dagangan Malaysia bergantung pada pengangkutan laut.

Sekiranya jumlah pelaut tidak mencukupi, operasi perkapalan boleh menjadi kurang efisien, kos logistik meningkat dan penghantaran barangan tertangguh, seterusnya memberikan kesan langsung kepada harga pasaran serta kestabilan ekonomi domestik.

Tambahnya,

Jika kekurangan pelaut berterusan, negara akan berdepan gangguan rantaian bekalan yang serius. Keadaan ini boleh meningkatkan kos logistik, menaikkan harga barangan dan menjejaskan daya saing industri perkapalan tempatan.

Menurut beliau lagi, isu ini tidak hanya terbatas kepada aspek ekonomi, malah turut menyentuh keselamatan maritim dan kedaulatan perairan negara.

Dalam era perubahan iklim, peningkatan trafik perkapalan dan cabaran terhadap ekosistem laut, peranan pelaut menjadi semakin signifikan dalam memastikan operasi pelayaran mematuhi prinsip keselamatan, kecekapan tenaga dan kelestarian alam sekitar.

Dalam konteks sains kelautan, sektor perkapalan moden juga semakin berkait rapat dengan usaha pemeliharaan alam marin.

Kapal generasi baharu kini memberikn penekanan kepada penggunaan bahan api yang lebih bersih, sistem pengurusan sisa kapal yang lebih cekap, pemantauan pelepasan karbon serta teknologi kecekapan tenaga bagi mengurangkan impak terhadap ekosistem laut.

Oleh itu, pelaut masa hadapan perlu memiliki kefahaman yang lebih luas tentang hubungan antara operasi kapal, perubahan iklim, pencemaran laut, biodiversiti marin dengan agenda ekonomi biru negara.

Beliau berpandangan bahawa kerjaya sebagai pelaut sebenarnya menawarkan prospek yang sangat baik kepada generasi muda, khususnya mereka yang berminat dalam bidang teknologi, pengembaraan profesional, operasi antarabangsa dan industri berasaskan laut.

Dari sudut ganjaran, kerjaya ini terkenal dengan pendapatan yang kompetitif, terutamanya bagi mereka yang mempunyai kemahiran teknikal, sijil profesional dan pengalaman operasi di laut.

Jelasnya,

Kerjaya sebagai pelaut menawarkan gaji yang lumayan, terutamanya bagi mereka yang mempunyai kemahiran dan pengalaman tinggi. Selain gaji, terdapat juga pelbagai faedah lain seperti penginapan, makanan dan dalam keadaan tertentu, kelebihan cukai yang menjadikan bidang ini lebih menarik.

Sesi penerangan lapangan membantu mahasiswa memahami hubungan antara latihan maritim, keselamatan navigasi dan keperluan kemahiran teknikal dalam industri perkapalan moden.

Namun demikian, beliau berpendapat bahawa usaha menarik minat mahasiswa dan generasi muda terhadap kerjaya maritim perlu digerakkan secara lebih strategik, kreatif dan berorientasikan masa depan.

Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan termasuklah memperkukuh promosi kerjaya maritim melalui kempen kesedaran di sekolah, institusi pengajian tinggi dan platform digital, dengan menonjolkan realiti sebenar profesion pelaut yang kini semakin dipacu oleh teknologi tinggi dan peluang mobiliti global.

Selain itu, beliau mencadangkan agar institusi pendidikan memperkenalkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan bersifat praktikal seperti simulasi pelayaran digital, lawatan ke fasiliti latihan maritim, pendedahan kepada makmal teknologi marin serta bengkel bersama pemain industri seperti Akademi Laut Malaysia (ALAM) dan rakan industri maritim yang lain.

Sebagai usaha memperkukuh minat mahasiswa terhadap bidang maritim, pendedahan lapangan melalui seperti lawatan akademik ke agensi berkaitan contohnya Jabatan Laut Wilayah Utara, lawatan  ke fasiliti pelabuhan dan pemerhatian terhadap operasi kapal komersial seperti kapal roll-on/roll-off (RoRo) amat penting dalam membina kefahaman yang lebih menyeluruh.

Pengalaman sebegini bukan sahaja memberikan gambaran sebenar tentang ekosistem industri perkapalan, malah membantu mahasiswa memahami bagaimana teknologi navigasi, pengurusan pelabuhan, keselamatan operasi dan logistik laut saling berhubung dalam dunia maritim moden.

Lawatan akademik pelajar ke Jabatan Laut Wilayah Utara memberika pendedahan langsung terhadap tadbir urus keselamatan maritim, operasi perkapalan dan teknologi pengurusan laut negara.

Dalam konteks pendidikan tinggi, pengalaman berasaskan lapangan seperti ini berperanan besar dalam menghubungkan teori dengan aplikasi sebenar, khususnya dalam bidang Teknologi Marin Lestari.

Melalui pendedahan terhadap operasi pelabuhan, sistem pergerakan kapal dan fungsi institusi maritim, mahasiswa dapat melihat sendiri bahawa sektor ini bukan sekadar berkaitan dengan pelayaran, tetapi turut melibatkan elemen kejuruteraan sistem, teknologi digital, keselamatan perairan, sains kelautan dan agenda ekonomi biru negara.

Beliau turut menekankan keperluan menyediakan biasiswa, bantuan kewangan dan insentif latihan bagi mengurangkan beban kos pendidikan maritim, di samping menampilkan kisah kejayaan pelaut tempatan sebagai inspirasi kepada mahasiswa.

Pendedahan terhadap laluan kerjaya yang jelas dan berdaya saing dilihat mampu membina keyakinan bahawa bidang maritim merupakan satu sektor profesional yang stabil, mencabar dan berpotensi tinggi untuk masa hadapan.

Secara keseluruhannya, kerjaya pelaut wajar dilihat semula melalui lensa yang lebih luas, bukan sekadar sebagai pekerjaan di lautan, tetapi sebagai profesion strategik yang berada di persimpangan antara teknologi marin, sains kelautan, keselamatan negara, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi biru.

Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi