Diterbitkan pada 6 Mac 2026, 11:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha memperkukuh pengetahuan dan kemahiran klinikal dalam pengurusan pesakit kecederaan saraf tunjang atau Spinal Cord Injury (SCI), bengkel pragraduasi khas untuk pelajar fisioterapi telah dianjurkan sebagai persediaan awal sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan dalam bidang rehabilitasi.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu melibatkan penyertaan daripada pelajar program fisioterapi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), University of Santo Tomas, Filipina dan Bunkyo Gakuin University, Jepun, sekali gus menjadi platform perkongsian ilmu serta pengalaman klinikal antara pelajar dengan pakar rehabilitasi daripada pelbagai institusi.

Program tersebut menghimpunkan beberapa orang pakar dan pengamal rehabilitasi daripada institusi pendidikan serta organisasi yang berkaitan bagi berkongsikan pendekatan rawatan, pengalaman klinikal dan cabaran sebenar dalam pengurusan pesakit SCI.

Melalui bengkel berkenaan, para pelajar didedahkan kepada pendekatan rehabilitasi yang komprehensif merangkumi aspek perubatan, fisioterapi, teknologi pemulihan serta integrasi sosial pesakit.

Bengkel dimulakan dengan sesi “Basic Introduction to Spinal Cord Injury” yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Noor Hafifi Noorhisham dari UKM dengan penerangan konsep asas kecederaan saraf tunjang termasuklah anatomi saraf tunjang, mekanisme kecederaan serta kesannya terhadap fungsi motor, deria dan autonomik pesakit.

Menurut beliau,

Kecederaan saraf tunjang boleh menyebabkan pelbagai tahap kelumpuhan bergantung pada lokasi dan tahap kecederaan, maka pemahaman yang jelas mengenai klasifikasi kecederaan dan prognosis pesakit amat penting bagi membantu ahli fisioterapi merancang intervensi rehabilitasi yang bersesuaian.

Sesi seterusnya yang bertajuk “Return to Work after SCI” telah disampaikan oleh Puan Nasiha Shakina Shariffddin dari Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Shah Alam yang berkongsikan mengenai program kembali bekerja yang dapat membantu individu yang mengalami kecederaan untuk kembali aktif dalam sektor pekerjaan melalui penilaian keupayaan kerja, latihan vokasional serta pengubahsuaian tempat kerja.

Selain aspek rawatan fizikal, bengkel tersebut turut menekankan cabaran sosial yang dihadapi oleh individu dengan kecederaan saraf tunjang melalui sesi “Accessibility Barriers After SCI” yang disampaikan oleh Encik Mohd Redzuan Mokhtar dari Malaysian Spinal Association (MASAA).

Beliau menjelaskan bahawa halangan seperti kemudahan awam yang tidak mesra Orang Kurang Upaya (OKU), laluan yang tidak sesuai serta tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah boleh menjejaskan mobiliti dan kualiti hidup pesakit.

Beliau turut menyampaikan sesi “Basic Physiotherapy Intervention after SCI” yang menekankan kepentingan intervensi fisioterapi awal bagi mencegah komplikasi sekunder seperti kekejangan otot, kontraktur sendi dan luka tekanan. Antara pendekatan yang diketengahkan termasuklah latihan regangan, pengurusan posisi badan, mobiliti awal serta pendidikan kepada pesakit dan penjaga.

Pada hari kedua, sesi “Strengthening Exercise after SCI” oleh Puan Nor Azrizawani Wan Azhari dari IJN College memfokuskan latihan penguatan otot, khususnya pada bahagian atas badan bagi pesakit yang menggunakan kerusi roda. Latihan ini penting bagi membantu pesakit menjalankan aktiviti harian seperti pemindahan posisi, mobiliti kerusi roda serta penjagaan diri dengan lebih berdikari.

Bengkel turut menampilkan sesi “Gait Training after SCI” yang membincangkan prinsip latihan berjalan bagi pesakit yang masih mempunyai potensi untuk berdiri dan berjalan dengan bantuan menggunakan peralatan seperti palang jajar (parallel bars), walker dan alat ortotik yang bukan sahaja membantu meningkatkan mobiliti pesakit, malah memberikan manfaat fisiologi seperti meningkatkan peredaran darah, mengekalkan kepadatan tulang serta mengurangkan risiko komplikasi akibat mobiliti jangka masa panjang.

Peserta juga didedahkan kepada kemahiran basic wheelchair skills termasuklah teknik menggerakkan kerusi roda dengan selamat, menaiki cerun serta melakukan pemindahan posisi, memandangkan kerusi roda merupakan alat mobiliti utama bagi banyak pesakit kecederaan saraf tunjang dalam kehidupan seharian.

Sesi praktikal pengurusan pesakit kecederaan saraf tunjang.

Bengkel diteruskan dengan pengenalan kepada teknologi Functional Electrical Stimulation oleh wakil Rehamed Healthcare Sdn. Bhd., iaitu teknologi yang menggunakan rangsangan elektrik untuk mengaktifkan otot yang lemah atau lumpuh bagi membantu meningkatkan fungsi pergerakan pesakit.

Pelajar mencuba pengunaan teknologi pemulihan untuk pesakit kecederaan saraf tunjang.

Secara keseluruhannya, bengkel ini berjaya memberikan pendedahan menyeluruh kepada pelajar fisioterapi mengenai pengurusan pesakit kecederaan saraf tunjang daripada pelbagai perspektif.

Melalui perkongsian pengalaman daripada pakar akademik dan industri, para pelajar diharapkan dapat meningkatkan tahap kompetensi serta lebih bersedia menghadapi cabaran sebenar dalam bidang rehabilitasi apabila melangkah ke alam pekerjaan kelak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi