Diterbitkan pada 4 Mac 2026, 09:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Usaha memperkukuh komunikasi sains kesihatan dan memasyarakatkan hasil penyelidikan diperkasakan menerusi penganjuran Bengkel Penulisan Popular oleh Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampus Kuala Lumpur yang menghimpunkan kira-kira 30 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah, kakitangan sokongan dan pelajar pascasiswazah dalam bidang sains kesihatan.

Bengkel ini dikendalikan oleh YBrs. Profesor ChM. Dr. Normah Awang, seorang penyelidik aktif dalam penulisan artikel popular berkaitan dengan kesihatan persekitaran dan toksikologi, dengan penekanan terhadap kepentingan menterjemahkan dapatan saintifik kepada bentuk penulisan yang mudah difahami oleh masyarakat tanpa menjejaskan ketepatan fakta.

Sesi perkongsian tentang panduan penulisan popular disampaikan oleh YBrs. Profesor ChM. Dr. Normah Awang.

Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Pengerusi CORE, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Asmah Hamid yang menegaskan bahawa penyelidik mempunyai tanggungjawab sosial untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat kerana banyak kajian penting seperti pencemaran alam sekitar, toksikologi bahan kimia dan kesan pendedahan bahan berbahaya lazimnya hanya diterbitkan dalam jurnal akademik yang dibaca oleh kelompok pakar.

YBrs. Profesor Madya Dr. Asmah Hamid ketika menyampaikan kata alu-aluan.

Ujarnya,

Penulisan popular membuka ruang kepada para penyelidik untuk berkongsi penemuan sains kesihatan dengan masyarakat secara lebih santai, tetapi tetap berasaskan bukti.

Sepanjang bengkel tersebut, para peserta didedahkan kepada perbezaan antara penulisan akademik dengan penulisan popular dari segi gaya bahasa, struktur serta sasaran pembaca, termasuklah penggunaan bahasa yang lebih mudah, ayat ringkas dan naratif yang menarik agar isu seperti pendedahan bahan toksik, pencemaran alam sekitar dan risiko kesihatan pekerjaan dapat difahami oleh masyarakat umum.

Peserta turut diperkenalkan dengan teknik asas seperti penggunaan ayat pembuka yang menarik, ayat aktif yang jelas serta kaedah menterjemahkan istilah saintifik kepada bahasa yang lebih mudah bagi memastikan maklumat berkaitan dengan kesihatan awam dan keselamatan persekitaran dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

Sebagai latihan praktikal, peserta menghasilkan draf artikel popular berdasarkan topik penyelidikan masing-masing sebelum melalui sesi semakan rakan sebaya, sekali gus membantu menambah baik gaya penulisan dan menyesuaikannya dengan keperluan penerbitan popular seperti majalah Dewan Kosmik.

Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel ini berjaya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan komunikasi sains dalam bidang kesihatan serta menggalakkan penyelidik berkongsi dapatan kajian dengan masyarakat dengan lebih efektif, sekali gus memupuk budaya penulisan popular dalam kalangan ahli akademik dan memperluas penyebaran ilmu sains kesihatan kepada umum.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi