Diterbitkan pada 1 Mac 2026, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Fakulti Sains Kesihatan (FSK) terus memperkukuh integrasi ilmu sains kesihatan dan rehabilitasi merentas sempadan apabila menjadi tuan rumah dalam program mobiliti antarabangsa yang melibatkan mahasiswa dari University of Santo Tomas (UST), Filipina.

Program yang berlangsung selama empat minggu dari 2 Februari 2026 hingga 27 Februari 2026 itu memfokuskan pertukaran kepakaran dalam bidang fisioterapi dan pemulihan klinikal.

Program tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan langsung kepada para pelajar terhadap penggunaan sains dalam rawatan pemulihan menerusi penempatan di pelbagai fasiliti kesihatan berteknologi tinggi di Malaysia bagi memahami perbezaan protokol rawatan.

Antara pengisian utama termasuklah lawatan ke klinik pakar di FSK, UKM yang merangkumi bidang fisioterapi, terapi cara kerja, optometri serta audiologi dan sains pertuturan, selain mengikuti latihan klinikal di Hospital Rehabilitasi Cheras, Institut Jantung Negara dan Institut Kanser Negara di Putrajaya.

Antara pengisian dalam program mobiliti antarabangsa yang dianjurkan oleh FSK, UKM.

Pelajar turut berpeluang mengamati pengurusan kes rehabilitasi di Hospital Pakar Kanak-kanak serta Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Sebagai pelengkap latihan amali, bengkel prasiswazah bertajuk “Spinal Cord Injuries Rehab and Wheelchair Skills” telah dikendalikan oleh YBrs. Dr. Noor Hafifi pada minggu terakhir program dengan penekanan terhadap teknik pengendalian kerusi roda bagi pesakit kecederaan saraf tunjang, iaitu kemahiran penting dalam meningkatkan kualiti hidup dan mobiliti pesakit secara saintifik.

Selain aspek teknikal, program ini turut menekankan kerjasama global melalui sesi interaksi bersama-sama mahasiswa dari Bunkyo Gakuin University, Jepun yang membuka ruang perbincangan mengenai perbezaan metodologi rawatan dan amalan sains kesihatan antara Asia Tenggara dengan Asia Timur.

Turut hadir ialah ahli Program Fisioterapi UKM, sekali gus memperkukuh hubungan antara UKM dengan UST serta mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab pendidikan sains kesihatan yang dinamik di rantau ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi