Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 18 Februari 2026, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pahang – Sekumpulan pelajar dari Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) berjaya mengharumkan nama institusi apabila inovasi berteraskan teknologi hijau, Smart Cycle, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas dalam Innovation Excellence Ventures Innovation Competition (INNOVEX) 2026 yang berlangsung baru-baru ini.

Kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih empat orang pelajar jurusan Sains, iaitu Dheva a/l Sevarajan, Aliah Athirah Mohammad Saufi, Kenny Chong Keen Hoong dan Ang Win Yan di bawah bimbingan pensyarah, Puan Nurhidah Munawer.

Pembangunan Smart Cycle yang tercetus akibat isu pelupusan sisa yang tidak teratur di kawasan awam ini menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang diintegrasikan dengan modul kamera ESP32-CAM. Sistem pintar ini berfungsi mengimbas dan mengenal pasti jenis sisa sama ada plastik, kertas atau sisa organik sebelum motor servo diaktifkan untuk membuka penutup tong yang tepat secara automatik.

Selain ciri teknikal yang canggih, projek ini turut menerapkan elemen gamifikasi melalui sistem ganjaran kod QR yang dihubungkan ke aplikasi Telegram, bertujuan menarik minat pengguna membudayakan amalan kitar semula.

Menurut Puan Nurhidah, kejayaan merangkul pingat emas bukanlah penamat kepada usaha penyelidikan pasukan tersebut, sebaliknya pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh.

Katanya,

Anugerah emas ini hanyalah titik permulaan. Kami sedar bahawa inovasi kitar semula ini mempunyai potensi besar untuk memberikan impak nyata kepada masyarakat dan ekosistem

Beliau turut menyatakan hasrat untuk memperluas penggunaan inovasi ini kepada skala yang lebih besar demi manfaat umum.

Tambahnya,

Oleh itu, kami juga berhasrat untuk membawa idea ini ke peringkat seterusnya. Kami mengalu-alukan kolaborasi daripada pihak berwajib, agensi kerajaan, mahupun sektor swasta yang berminat untuk bekerjasama. Matlamat kami jelas, iaitu mahu melihat inisiatif kitar semula yang mapan ini dilaksanakan secara meluas bagi menyokong agenda negara hijau.

Pencapaian cemerlang dalam pertandingan berprestij ini membuktikan bahawa warga KMPh sentiasa komited dalam menterjemahkan teori sains kepada aplikasi praktikal yang memberikan manfaat lestari kepada komuniti dan negara.

Kredit Foto: Nurhidah Munawer
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi