Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan menegaskan komitmen memperkukuh pengurusan kanser negara melalui kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan sektor swasta merangkumi aspek promosi, pencegahan, nutrisi, saringan, akses rawatan serta inovasi, sejajar dengan tema Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026, iaitu “Penyatuan dalam Keunikan”.
“Tema tersebut membawa mesej bahawa setiap pesakit kanser melalui naratif perjuangan yang berbeza dari segi cabaran, emosi dan keperluan, namun disatukan oleh matlamat bersama, iaitu empati, sokongan serta iltizam bagi memastikan tiada individu yang berjuang sendirian,” ujar Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly Ahmad ketika merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Menurut beliau,
Kanser bukan sekadar satu diagnosis perubatan, sebaliknya ujian besar yang menguji ketahanan jiwa pesakit dan keluarga, lebih-lebih lagi apabila penyakit itu kini menjadi pembunuh ketiga tertinggi di Malaysia.
Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan bahawa pelancaran Program Wiran Kanser SBS-Nexus NCSM disifatkan sebagai anjakan paradigma dengan menghimpunkan pemimpin industri bagi merapatkan jurang kesihatan, khususnya untuk memperluas akses saringan dan rawatan awal kepada komuniti luar bandar.
Beliau turut mengumumkan pelancaran Kempen Mai Kurang Gula, Garam dan Kalori yang menyasarkan penyertaan 150 syarikat, susulan dapatan kajian yang menunjukkan peningkatan kes kanser mempunyai kaitan rapat dengan faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.
Tegasnya,
Perjuangan menentang kanser pada tahun ini harus bermula dengan anjakan minda dan peningkatan literasi kesihatan, dengan gaya hidup sihat sebagai benteng pertama pencegahan penyakit.
Menyentuh peranan Malaysia pada peringkat serantau, beliau menyatakan bahawa negara bakal menerajui agenda kesihatan ASEAN dengan memberikan tumpuan kepada tiga keutamaan, iaitu penetapan piawaian saringan kanser paru-paru, kawalan tembakau serantau yang lebih ketat serta kerjasama penyelidikan bagi mempercepat akses kepada rawatan kanser yang inovatif dan berkesan.
Beliau juga menegaskan bahawa KKM akan meneruskan reformasi kesihatan dan menyeru semua pihak agar menjadikan kesedaran kanser sebagai budaya hidup, bukan sekadar kempen tahunan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026, Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Dr. Murallitharan Munisamy berkata, pendekatan menangani kanser memerlukan kesatuan tindakan dengan mengambil kira keunikan setiap cabaran yang dihadapi oleh pesakit.

Beliau menjelaskan cabaran utama termasuklah aspek komunikasi, iaitu apabila maklumat kanser sering disampaikan dalam bahasa Inggeris yang sukar difahami oleh pesakit, maka sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.
Cabaran kedua pula melibatkan kekangan kewangan, akses rawatan serta keupayaan pesakit untuk mendapatkan rawatan tepat pada masanya, kini sedang ditangani melalui perjanjian kerjasama dan peranan strategik yang diperkasakan sepanjang tahun 2026.
Menurut beliau, cabaran ketiga ialah tekanan emosi dan ketahanan mental pesakit kanser yang memerlukan pendekatan merentas disiplin melalui kerjasama erat bersama-sama pakar akademik, kaunselor dan ahli psikologi.
Katanya,
Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) akan mempergiatkan gerakan di seluruh negara dengan penubuhan enam jawatankuasa petugas khas melibatkan kanser payudara, kolorektal, paru-paru, nasofarinks, hati dan serviks.
Dalam majlis yang sama, turut berlangsung pelancaran Program Akses Nutrisi Kanser, sesi memorandum persefahaman kerjasama strategik, sesi penyampaian watikah pelantikan jawatankuasa penasihat NCSM serta penghargaan kepada rakan kerjasama yang terlibat.
Turut hadir ialah wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, YBrs. Dr. Rabindra Abeyasinghe; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBrs. Dr. Ismuni Bohari; Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Saunthari Somasundaram; Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Encik Abang Haliman Abang Julai; Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, YBrs. Dr. Noraryana Hassan; Pengerusi Pasukan Petugas Kanser Kolorektal Kebangsaan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi; Pakar Perunding Bedah Am, YBhg. Dato’ Seri Haji Mohamed Yusof; Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Encik Ravi Navaratnam; rakan strategik; rakan kerjasama; wakil persatuan, agensi dan NGO; rakan media serta tetamu undangan lain.
