Diterbitkan pada 17 Januari 2026, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Program kecergasan komuniti FITVENTURE: Paddle for Health anjuran pelajar Ijazah Sarjana Muda Kesihatan dan Kecergasan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis berjaya menarik penyertaan kira-kira 30 orang peserta dalam usaha meningkatkan kesedaran gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal dan rekreasi luar di Kampung Wai, Perlis.

Program yang dilaksanakan oleh pelajar kumpulan RSR2453A dan RSR2453B itu memberikan penekanan kepada pelibatan aktif masyarakat dalam aktiviti kecergasan melalui gabungan latihan litar dan ekspedisi kayak yang menitikberatkan aspek kecergasan, keselamatan serta kerjasama berpasukan.

Pengarah Program, Encik Amar Syahir Razali berkata, program tersebut dirancang khusus untuk golongan pemula bagi memperkenalkan senaman asas yang selamat dan berkesan sambil menjadikan aktiviti fizikal lebih menyeronokkan menerusi elemen rekreasi seperti kayak.

Sepanjang program, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan menjalani empat stesen latihan litar yang memfokuskan kekuatan bahagian atas badan, bahagian bawah badan, teras serta lengan dan bahu di bawah bimbingan fasilitator terlatih yang turut memberikan penerangan mengenai teknik senaman dan keselamatan.

Sesi penerangan berkaitan dengan stesen latihan kekuatan bahagian bawah badan sebelum peserta memulakan aktiviti.
Aktiviti latihan kekuatan bahagian atas badan yang memfokuskan kekuatan otot dada, bahu dan lengan sebagai sebahagian daripada program latihan fizikal.
Peserta menjalani latihan kekuatan otot abdomen dan kestabilan badan.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan sesi kuiz interaktif berkaitan dengan senaman sebelum diteruskan dengan ekspedisi kayak di terowong terpanjang di Malaysia yang bukan sahaja meningkatkan kecergasan kardiovaskular, malah membina kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

Peserta menjalani latihan bahu dan lengan untuk meningkatkan kekuatan otot.
Aktiviti kayak sebagai sebahagian daripada latihan fizikal luar yang menekankan daya tahan, koordinasi dan kerja berpasukan.

Majlis penutupan program disempurnakan oleh pensyarah dan penasihat program, Encik Mohd Khairulanwar Md Yusof yang memuji komitmen para pelajar dalam merancang serta melaksanakan program berimpak tinggi kepada komuniti, selain menyempurnakan sesi penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada para peserta.

Secara keseluruhannya, FITVENTURE: Paddle for Health berjaya mencapai objektif penganjuran dengan menerima maklum balas positif daripada peserta, di samping memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar dalam pengurusan program kesihatan dan kecergasan.

Program seumpama ini sewajarnya diteruskan pada masa hadapan sebagai sokongan berterusan ke arah pembentukan masyarakat yang lebih sihat, aktif dan berpengetahuan mengenai kesejahteraan fizikal.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi