Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Program kecergasan komuniti FITVENTURE: Paddle for Health anjuran pelajar Ijazah Sarjana Muda Kesihatan dan Kecergasan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis berjaya menarik penyertaan kira-kira 30 orang peserta dalam usaha meningkatkan kesedaran gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal dan rekreasi luar di Kampung Wai, Perlis.
Program yang dilaksanakan oleh pelajar kumpulan RSR2453A dan RSR2453B itu memberikan penekanan kepada pelibatan aktif masyarakat dalam aktiviti kecergasan melalui gabungan latihan litar dan ekspedisi kayak yang menitikberatkan aspek kecergasan, keselamatan serta kerjasama berpasukan.
Pengarah Program, Encik Amar Syahir Razali berkata, program tersebut dirancang khusus untuk golongan pemula bagi memperkenalkan senaman asas yang selamat dan berkesan sambil menjadikan aktiviti fizikal lebih menyeronokkan menerusi elemen rekreasi seperti kayak.
Sepanjang program, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan menjalani empat stesen latihan litar yang memfokuskan kekuatan bahagian atas badan, bahagian bawah badan, teras serta lengan dan bahu di bawah bimbingan fasilitator terlatih yang turut memberikan penerangan mengenai teknik senaman dan keselamatan.



Program berkenaan turut dimeriahkan dengan sesi kuiz interaktif berkaitan dengan senaman sebelum diteruskan dengan ekspedisi kayak di terowong terpanjang di Malaysia yang bukan sahaja meningkatkan kecergasan kardiovaskular, malah membina kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan dalam kalangan peserta.


Majlis penutupan program disempurnakan oleh pensyarah dan penasihat program, Encik Mohd Khairulanwar Md Yusof yang memuji komitmen para pelajar dalam merancang serta melaksanakan program berimpak tinggi kepada komuniti, selain menyempurnakan sesi penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada para peserta.
Secara keseluruhannya, FITVENTURE: Paddle for Health berjaya mencapai objektif penganjuran dengan menerima maklum balas positif daripada peserta, di samping memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar dalam pengurusan program kesihatan dan kecergasan.
Program seumpama ini sewajarnya diteruskan pada masa hadapan sebagai sokongan berterusan ke arah pembentukan masyarakat yang lebih sihat, aktif dan berpengetahuan mengenai kesejahteraan fizikal.