Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMerbok – Usaha pemuliharaan alam sekitar terus diperkasakan apabila sebanyak 36 orang peserta Program UniGo dari University of Tasmania (UTAS) menyertai aktiviti penanaman 600 anak pokok bakau di kawasan Paya Bakau Merbok, selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG).
Program tersebut menyokong secara langsung SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim melalui pemuliharaan ekosistem bakau yang berperanan sebagai penyerap karbon semula jadi serta pelindung pantai daripada hakisan dan kesan perubahan iklim.
Inisiatif berkenaan turut menyumbang kepada SDG 14: Hidupan di Bawah Air dan SDG 15: Hidupan di Darat dengan memelihara habitat penting bagi pelbagai spesies flora dan fauna.
Lawatan lapangan ke Paya Bakau Merbok memberikan peluang kepada para peserta untuk memahami secara langsung kepentingan biodiversiti serta fungsi ekosistem paya bakau dalam keseimbangan alam sekitar. Pelibatan aktif peserta dalam aktiviti penanaman bakau mencerminkan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti, khususnya dalam pendidikan kelestarian dan kesedaran alam sekitar.
Penganjuran program ini juga memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar, sejajar dengan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat menerusi kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti tempatan.
Program UniGo bukan sahaja menjadi platform pertukaran ilmu dan budaya, malah berperanan penting dalam memupuk tanggungjawab sosial serta kesedaran global terhadap kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
