Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPudu – Isu kekurangan zat makanan dalam kalangan warga emas di Pusat Warga Emas Lecadia diberikan perhatian serius apabila satu program intervensi pemakanan komuniti dilaksanakan oleh pelajar tahun tiga Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menangani risiko malpemakanan yang menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan golongan berkenaan.
Hasil pemerhatian awal dan tinjauan mendapati bahawa sebanyak 54 peratus warga emas di pusat penjagaan tersebut berisiko mengalami kekurangan zat makanan berpunca daripada faktor seperti jemu terhadap menu harian, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak mencukupi serta penyediaan makanan yang tidak disesuaikan dengan masalah kesihatan.
Keadaan ini menyebabkan penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi sukar dikawal, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi kesihatan dalam kalangan warga emas.
Program yang diadakan merangkumi sesi kaunseling pemakanan individu, permainan pendidikan, sesi soal jawab interaktif serta aktiviti pembentukan pinggan sihat yang disesuaikan dengan keperluan warga emas.
Melalui pendekatan tersebut, warga emas diberikan pendedahan kepada pilihan makanan yang lebih sihat dan seimbang berdasarkan kaedah Pinggan Sihat Malaysia.
Penyelia Program, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar berkata, program ini bukan sahaja memberikan kesedaran tentang pemakanan sihat, malah membantu pihak pusat penjagaan ini mengenal pasti punca sebenar yang menyumbang kepada masalah malpemakanan.
Katanya,
Interaksi secara langsung bersama-sama warga emas dan penjaga amat penting bagi membolehkan cadangan yang lebih praktikal dan realistik dapat dilaksanakan.
Selain program bersama-sama warga emas, pelajar yang terlibat turut mengadakan sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan dan penjaga pusat tersebut untuk mengenal pasti langkah penambahbaikan termasuklah kepelbagaian menu serta penyediaan makanan yang sesuai untuk warga emas yang mengalami masalah mengunyah dan menelan.

Salah seorang pelajar Program Dietetik, FSK, UKM, Oh Jin Fong berkata, pendekatan bahasa mudah dan aktiviti yang menyeronokkan digunakan bagi memudahkan warga emas di pusat penjagaan tersebut memahami prinsip pemakanan sihat.
Ujarnya,
Menerusi program ini, warga emas bukan sahaja belajar untuk memilih makanan yang lebih sihat, malah lebih yakin untuk mengamalkan tabiat pemakanan yang baik dalam kehidupan seharian.
Pengasas Pusat Warga Emas Lecadia, YBrs. Dr. Andre Ratos menyifatkan bahawa program tersebut sangat bermanfaat kerana membantu warga emas memahami kepentingan pemakanan sihat secara praktikal dan mudah.
Beliau berkata,
Kaunseling individu serta aktiviti interaktif yang dijalankan memberikan panduan yang berguna kepada kami dalam menyediakan diet yang sesuai untuk penjagaan warga emas di pusat penjagaan ini.
Program komuniti berkenaan berjaya meningkatkan kesedaran pemakanan sihat dalam kalangan warga emas di Pusat Warga Emas Lecadia serta mengukuhkan hubungan antara universiti dengan komuniti setempat.
