Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri dengan kerjasama strategik 3M Malaysia Sdn. Bhd. berjaya menganjurkan Seminar 3M’s Science Fit bagi memperkasakan kefahaman pelajar terhadap kepentingan penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE) sebagai elemen utama dalam pengurusan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya dalam bidang kesihatan industri.
Seminar ini menghimpunkan pelajar Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri yang menunjukkan komitmen tinggi menerusi pelibatan aktif sepanjang sesi pembelajaran dan latihan yang dijalankan.
Majlis dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Penyelaras Kursus Kesihatan Industri, YBrs. Profesor ChM. Dr. Normah Awang yang menekankan kepentingan pendedahan awal pelajar kepada amalan sebenar industri bagi melengkapkan kefahaman teori dengan latihan praktikal.

Beliau turut menegaskan bahawa keupayaan membuat penilaian risiko dan pemilihan PPE yang tepat merupakan kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh bakal graduan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Pengisian utama seminar berkenaan disampaikan oleh 2nd Advance Application Engineering Specialist, Ts. Sherlyn Voon dari 3M Malaysia Sdn. Bhd. yang berkongsikan pengetahuan berkaitan dengan konsep asas PPE, pengelasan bahaya pekerjaan serta prinsip pemilihan peralatan perlindungan mengikut tahap pendedahan dan jenis risiko.

Menerusi pembentangan bertajuk PPE Overview, peserta diperkenalkan kepada pelbagai jenis perlindungan pernafasan termasuklah penapis muka, respirator boleh guna semula, respirator berkuasa dan sistem bekalan udara yang digunakan secara meluas dalam industri.
Sesi demonstrasi secara langsung turut diadakan apabila penceramah menunjukkan penggunaan respirator muka penuh dan sistem perlindungan pernafasan berkuasa bagi memberikan gambaran yang jelas tentang kaedah pemakaian, pelarasan peralatan serta kesilapan lazim yang perlu dielakkan.

Pelajar turut diberikan peluang untuk menyertai sesi amali dengan mencuba sendiri pelbagai peralatan keselamatan seperti pelindung pendengaran, pelindung mata, penutup telinga dan aksesori respiratori yang dipamerkan secara tersusun.
Kemuncak seminar ialah sesi praktikal pemakaian pakaian perlindungan khas lengkap dengan respirator yang dibimbing secara langsung oleh penceramah bagi meningkatkan kefahaman dan keyakinan pelajar dalam mengendalikan peralatan keselamatan dengan betul dan selamat.
Program diakhiri dengan sesi fotografi berkumpulan serta penyampaian sijil penghargaan kepada wakil 3M Malaysia Sdn. Bhd. sebagai simbol kejayaan penganjuran seminar dan kerjasama erat antara institusi akademik dengan pihak industri.