Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kelab Program Fisioterapi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Hari Interaksi Fisioterapi 2025 pada 11 Disember 2025 bertempat di padang Kolej Tun Syed Nasir, Jalan Temerloh, Titiwangsa, Kuala Lumpur. Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini melibatkan penyertaan pelajar Fisioterapi Tahun 1 hingga Tahun 4, pensyarah, klinisian serta staf sokongan.
Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Deepashini a/p Harithasan, Penasihat Kelab Program Fisioterapi UKM. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penglibatan aktif dalam aktiviti fizikal sebagai asas kepada kesihatan fizikal, kesejahteraan mental serta pembentukan hubungan sosial yang positif dalam kalangan warga program.
Penganjuran program ini mengangkat tema “Physioplay: Together We Connect”, yang menekankan kepentingan penglibatan aktif melalui pergerakan fizikal serta interaksi sosial dalam kalangan warga program Fisioterapi. Selari dengan bidang fisioterapi yang berfokuskan pemulihan, pencegahan kecederaan dan kesejahteraan fizikal, program ini dirangka sebagai medium untuk memupuk kesedaran tentang gaya hidup sihat secara menyeluruh.
Sepanjang program berlangsung, para peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti fizikal dan cabaran berkumpulan yang dirancang bagi menggalakkan penglibatan aktif serta interaksi positif. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah tarik tali, senamrobik, motor memory, rehab race, bola tampar serta Mind Synchronize Challenge. Aktiviti ini bukan sahaja menumpukan aspek kecergasan fizikal, malah turut menguji kemahiran kognitif, koordinasi, komunikasi dan semangat kerja berpasukan.


Selain berfungsi sebagai platform rekreasi, Hari Interaksi Fisioterapi 2025 turut berperanan memperkukuh hubungan antara pelajar pelbagai tahun pengajian dengan pensyarah dan klinisyen dalam suasana yang lebih santai dan inklusif. Interaksi ini dilihat penting dalam membina persekitaran pembelajaran yang kondusif serta menyokong pembentukan identiti profesional pelajar fisioterapi.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai matlamat penganjuran dengan mewujudkan pengalaman pembelajaran tidak formal yang bermakna, di samping memupuk kesedaran tentang kepentingan aktiviti fizikal sebagai asas kepada kesihatan dan kesejahteraan komuniti.