Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi memperkukuh kerjasama akademik, penyelidikan serta pembangunan kapasiti dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan Keselamatan Siber, semalam.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan, Inovasi dan Pengajian Siswazah) ELMU, YBrs. Ir. Dr. Nor Azhar Mohd Arif, MoU tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam memupuk kerjasama strategik antara kedua-dua institusi bagi menangani cabaran teknologi, keselamatan dan inovasi yang semakin kompleks.
Jelas beliau,
Menerusi pemeteraian MoU ini, ELMU dan UTeM akan bekerjasama dalam beberapa bidang utama, termasuk inisiatif penyelidikan bersama, program latihan akademik dan profesional, pertukaran ilmu, penganjuran seminar serta bengkel, aktiviti berteraskan inovasi, selain aktiviti berteraskan industri dan pemegang taruh.
Tambahnya,
Kerjasama ini bertujuan memanfaatkan kekuatan kedua-dua universiti bagi menyokong keutamaan pembangunan negara, khususnya dalam aspek keselamatan digital, sistem pintar serta pembangunan bakat yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, YBrs. Profesor Dr. Mohd Rizal Salleh turut menekankan pendekatan pendidikan berorientasikan amalan serta penyelidikan gunaan, khususnya dalam bidang kejuruteraan, pengkomputeran dan teknologi.
Katanya,
Kepakaran kami dalam bidang keselamatan rangkaian, forensik digital dan analitik keselamatan berasaskan AI selari dengan kepakaran ELMU dalam tadbir urus keselamatan, pengurusan risiko, pembangunan dasar, kepimpinan serta pengurusan strategik.
Beliau menambah,
Kerjasama yang saling melengkapi ini membolehkan kedua-dua institusi ini menangani cabaran keselamatan daripada perspektif teknikal dan organisasi, sekali gus meningkatkan kerelevanan serta keberhasilan akademik dan penyelidikan.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian MoU antara ELMU yang diwakili oleh YBrs. Ir. Dr. Nor Azhar Mohd Arif dan UTeM yang diwakili oleh YBrs. Profesor Dr. Mohd Rizal Salleh.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Dekan Sekolah Kepimpinan dan Ketahanan ELMU, YBrs. Dr. Haji Norhafifi Haji Ismail serta Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber UTeM, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Hafidz Fazli Md Fauadi.