Diterbitkan pada 16 Disember 2025, 14:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh sinergi antara universiti dengan industri melalui penganjuran IPPT, USM–Industry Symposium 2025 yang bertujuan untuk merapatkan jurang antara penyelidikan akademik dengan keperluan sebenar industri, sekali gus mempersiapkan graduan menghadapi pasaran kerja pada masa hadapan.

Simposium yang dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan, IPPT, USM dan bertemakan “Bridging Minds, Building Futures: Industry Insights for Research and Career Readiness” itu berlangsung di Eastin Hotel, Pulau Pinang dengan penyertaan  pemain industri kesihatan, teknologi perubatan dan elektronik, ahli akademik serta pelajar pascasiswazah.

Timbalan Naib Canselor USM (Jaringan Industri dan Komuniti), YBhg. Profesor Dr. Azlan Amran ketika merasmikan simposium tersebut menegaskan bahawa kerjasama erat antara akademia dengan industri mampu mempercepat inovasi serta membuka peluang baharu dalam pembangunan teknologi kesihatan demi kesejahteraan masyarakat.

Sementara itu, Pengarah IPPT, USM, YBrs. Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin dalam ucapannya berkata, penyelidikan hanya memberikan impak bermakna apabila diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang relevan dengan industri dan masyarakat, sekali gus membolehkan pelajar serta penyelidik memahami kehendak sebenar dunia pekerjaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa penganjuran simposium ini adalah selaras dengan agenda Education for Sustainable Development (ESD) yang menekankan penguasaan kemahiran teknikal, pemikiran kritis, kreativiti dan tanggungjawab sosial dalam kalangan graduan.

Program diteruskan dengan ucaptama oleh Pengarah Hal Ehwal Luar OSRAM Opto Semiconductors, YBrs. Dr. David Lacey yang berkongsikan pandangannya mengenai inovasi teknologi perubatan melalui ekosistem industri elektronik di Malaysia serta kepentingan penggabungan penyelidikan dan teknologi bagi menghasilkan penyelesaian kesihatan yang mampan.

Seterusnya, forum “Shaping the Future of Translational Research in Healthcare” membincangkan hala tuju penyelidikan translasi dalam sektor kesihatan dengan penekanan kepada usaha memperkukuh kualiti sistem kesihatan negara dan memperluas akses kepada teknologi serta perkhidmatan perubatan.

Forum “Shaping the Future of Translational Research in Healthcare” bersama-sama Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin, YBrs. Dr. Md Azman PKM Seeni Mohamed dari SIRIM Berhad dan YBhg. Profesor Dr. Asrul Akmal Shafie dari USM.

Forum tersebut menampilkan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin, YBrs. Dr. Md Azman PKM Seeni Mohamed dari SIRIM Berhad dan YBhg. Profesor Dr. Asrul Akmal Shafie dari USM serta Encik Mohd Khairul Akma Darwis, pelajar pascasiswazah USM selaku moderator.

Menurut YBhg. Profesor Dr. Asrul Akmal Shafie,

Penyelidikan translasi bukan sekadar bersifat teori, sebaliknya memastikan penemuan makmal dapat digunakan secara praktikal untuk memberikan manfaat kepada masyarakat.

Dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan pula, sesi “Talent Match: Industry Perspectives on Career Readiness and Employability” memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai keperluan sebenar industri serta kemahiran yang diperlukan untuk bersaing pada peringkat global.

Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan B. Braun Medical Industries Sdn. Bhd., YBrs. Dr. Aik Aun Tan berkata, kemahiran teknikal semata-mata tidak mencukupi kerana graduan juga perlu memiliki kemahiran insaniah dan daya saing antarabangsa untuk berjaya dalam sektor perubatan dan teknologi.

Selain itu, forum “Industry Insights: Shaping Career Pathways, Collaboration and Employability Skills” yang melibatkan wakil industri dari B. Braun Medical Industries Sdn. Bhd., Teleflex Medical dan Keysight Technologies membuka ruang dialog dua hala antara pihak industri dengan akademia bagi membentuk laluan kerjaya yang lebih jelas dan relevan kepada graduan.

Forum “Industry Insights: Shaping Career Pathways, Collaboration and Employability Skills” menampilkan YBrs. Dr. Aik Aun Tan dari B. Braun, Puan Tan Lin Im dari Teleflex Medical dan Puan Julia Hoong dari Keysight Technologies.

Sesi temu duga olok-olok yang turut diadakan juga memberikan pengalaman sebenar kepada para peserta, sekali gus meningkatkan keyakinan diri dan mengukuhkan pembelajaran berasaskan pengalaman secara langsung.

Sesi temu duga olok-olok antara pakar industri dengan pelajar pascasiswazah USM, Encik Zakri Husni Abdullah.
Sesi temu duga olok-olok antara pakar industri dengan pelajar pascasiswazah antarabangsa, Puan Batoul Alallam.

Pengerusi IPPT, USM–Industry Symposium 2025, YBrs. Profesor Madya Dr. Rafidah Zainon juga berkata, platform ini bukan sahaja menyelaraskan penyelidikan pascasiswazah dengan keutamaan industri, malah mempercepat pemindahan ilmu dan inovasi melalui interaksi langsung bersama-sama pakar industri.

Majlis penutupan simposium berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan IPPT, USM, YBhg. Profesor Dr. Badrul Hisham Yahaya.

Ujar beliau,

Kolaborasi strategik tersebut membuka peluang yang lebih inklusif dalam penyelidikan, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat, sekali gus memperkukuh ekosistem inovasi negara.

Secara keseluruhannya, IPPT, USM–Industry Symposium 2025 membuktikan bahawa kerjasama strategik antara universiti, industri dan agensi yang berkaitan mampu memperkukuh inovasi serta membina modal insan yang bersedia untuk menghadapi cabaran global, sejajar dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi