Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam usaha memperkukuh kemahiran klinikal juru-X-ray terapi dalam mengendalikan kes radioterapi kanser prostat, Program Pengimejan Diagnostik dan Radioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan seminar “Optimizing Prostate Radiotherapy: Malaysia’s Next Chapter” di Berjaya Times Square Hotel.
Selain berjaya menghimpunkan sebanyak 47 orang juru-X-ray terapi dari seluruh Malaysia, seminar tersebut juga ditaja oleh Transmedic dan ACI Sciences, iaitu syarikat yang berkaitan dengan rawatan pesakit kanser.

Sepanjang seminar tersebut berlangsung, penceramah undangan yang terdiri daripada Pakar Onkologi Klinikal, Juru-X-ray Terapi Kanan dan Pakar Psikiatri Klinikal telah berkongsikan amalan terbaik serta cabaran ketika mengendalikan kes radioterapi kanser prostat di fasiliti masing-masing, sekali gus menjadikan seminar ini platform penting bagi pertukaran pengetahuan dan peningkatan kompetensi profesional.
Menurut Pakar Onkologi Klinikal, Hospital Kuala Lumpur, YBrs. Dr. Sandya Subramaniam, kebanyakan kes kanser prostat dikesan lewat dan situasi ini menyulitkan rawatan serta prognosis.
Ujarnya,
Malaysia haruslah giat berusaha ke arah amalan saringan awal bagi meningkatkan peluang rawatan yang lebih berkesan.
Sementara itu, Alice Kor Wan Ting dari National Cancer Centre Singapore berkesempatan berkongsikan pengalamannya semasa mengendalikan lebih daripada 600 kes proton terapi kanser prostat, iaitu teknologi yang masih baharu di Malaysia.

Katanya,
Penggunaan terapi proton berjaya mengurangkan kesan sampingan kanser, namun kos rawatannya lebih mahal berbanding dengan radioterapi konvensional.
Pada masa yang sama, Pakar Psikiatri, Hospital Universiti Malaysia Sabah, YBrs. Dr. David Tan Ming Gui turut membincangkan kepentingan kemahiran mengurus emosi pesakit kanser yang sensitif dan berkongsikan peranan juru-X-ray terapi dalam menyokong kesejahteraan psikologi pesakit sepanjang tempoh rawatan.
Berdasarkan laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017–2021, kanser prostat kekal sebagai kanser ketiga tertinggi dalam kalangan lelaki di Malaysia selepas kanser kolorektal dan paru-paru.