Diterbitkan pada 20 November 2025, 10:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nilai – Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) melalui Crime Science Institute (CSI) akan menganjurkan Seminar Pendekatan Baharu Identifikasi Mangsa Bencana melalui RAPID DNA pada 25 November ini di Dewan Besar ELMU, Bandar Enstek bagi memperkukuh kesiapsiagaan forensik negara dan memajukan keupayaan Identifikasi Mangsa Bencana (DVI).

Dalam satu kenyataan, Pengarah Projek, Penyelidikan CSI, ELMU, Encik Kurian Thomas menyatakan bahawa seminar itu menghimpunkan ahli akademik, pakar forensik dan inovator industri bagi meneroka transformasi RAPID DNA dalam agenda daya tahan bencana negara, selaras mandat CSI memacu penyelesaian berasaskan penyelidikan dan teknologi merentas bidang sains jenayah, keselamatan awam dan keselamatan negara.

Pengarah Projek, Penyelidikan CSI, ELMU, Encik Kurian Thomas.

Ujarnya, program yang akan dirasmikan oleh Naib Canselor ELMU, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed itu menzahirkan komitmen universiti dalam memperkukuh ekosistem sains forensik, keupayaan tindak balas kecemasan serta keseluruhan infrastruktur keselamatan awam negara.

Katanya,

Antara tumpuan utama seminar ialah ucaptama oleh YBrs. Dr. Rabieahtul Abu Bakar yang bertajuk Strengthening Malaysia’s Disaster Risk Reduction Framework through Integrated Disaster Victim Identification Systems yang mengupas keperluan rangka kerja forensik bersepadu merentas agensi melalui penggunaan identifikasi pantas, sistem data bersepadu dan perancangan kesiapsiagaan proaktif.

Kertas kerja itu turut menekankan kepentingan mempercepat penerimaan teknologi baharu bagi meningkatkan ketahanan negara dalam insiden korban besar serta menambah baik keupayaan tindak balas bencana secara menyeluruh.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Teknologi ELMU berkata, sesi bersama-sama Saintis Aplikasi Lapangan ANDE Corporation dari Amerika Syarikat, Lewis Shaw akan membentangkan kajian kes antarabangsa mengenai penggunaan RAPID DNA dalam operasi bencana global, penguatkuasaan undang-undang dan respons barisan hadapan, termasuklah aspek pemprosesan DNA serta-merta, koordinasi antara agensi serta pertimbangan etika biometrik.

Pada masa yang sama, para peserta turut berpeluang mengikuti demonstrasi langsung sistem RAPID DNA oleh ANDE yang memaparkan aliran kerja profil DNA automatik dengan menggunakan platform mudah alih untuk menunjukkan cara teknologi itu dapat mempercepat pemprosesan forensik dan mentransformasikan prosedur DVI negara ketika insiden kritikal.

Beliau juga menegaskan bahawa penganjuran seminar berprofil tinggi ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh infrastruktur forensik Malaysia dan memajukan misi CSI ke arah membina komuniti yang lebih selamat serta berdaya tahan.

Seminar Pendekatan Baharu Identifikasi Mangsa Bencana melalui RAPID DNA akan diadakan pada 25 November 2025 di Dewan Besar ELMU, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi