Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Festival of Ideas @ Penang (FOI@Penang) yang berlangsung di Penang Waterfront Convention Centre menyerlahkan kehebatan ilmu, kreativiti dan inovasi melalui pameran sains, teknologi dan seni yang disampaikan secara santai serta interaktif.
Festival anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) itu menjadi wadah universiti untuk mempersembahkan hasil penyelidikan dan inovasi yang berpotensi membentuk masa hadapan negara berasaskan ilmu.
Antara reruai pameran yang paling mencuri tumpuan termasuklah “Exploring the Power of Radiation” anjuran Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).
Reruai tersebut membawa pengunjung menelusuri dunia sinaran dan teknologi pengimejan perubatan melalui pendekatan visual serta interaktif yang menjadikan sains mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Antara teknologi pengimejan yang diperkenalkan di reruai tersebut termasuklah X-ray, tomografi berkomputer, pengimejan resonan magnet, ultrabunyi, mamografi, ortopantomogram, single photon emission–computed tomography, tomografi pancaran positron–tomografi berkomputer dan pemecut linear atau linear accelerator yang digunakan dalam diagnosis serta rawatan penyakit.
Reruai IPPT turut memperkenalkan aplikasi imbasan interaktif yang membolehkan pelajar melihat simulasi pembentukan imej dalaman organ melalui paparan digital.
YBrs. Profesor Madya Dr. Rafidah Zainon menjelaskan bahawa masyarakat masih keliru tentang risiko pendedahan sinaran perubatan yang digunakan dalam bidang kesihatan.
“Paras pendedahan sebenar berada pada tahap yang rendah dan sentiasa dikawal rapi melalui prosedur keselamatan yang ketat,” katanya.
Untuk menarik minat pelajar terhadap sains, aktiviti pembinaan litar kertas berasaskan konsep sinaran turut diadakan dengan menggunakan bahan mudah seperti kertas konduktor, bateri dan diod pancaran cahaya.


Menurut YBrs. Profesor Madya Dr. Rafidah Zainon, sains hanya akan memberikan makna apabila dihidupkan melalui pengalaman.
Ujarnya,
Apabila pelajar melihat, menyentuh dan mencuba sendiri, mereka mula memahami bahawa sains adalah keindahan yang membentuk cara manusia mengenali dunia.