Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sambutan Hari Psikologi Jabatan Peguam Negara Malaysia pada tahun ini diserikan dengan pelibatan Klinik Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membuka reruai pameran serta menjalankan saringan kesihatan bagi warga jabatan berkenaan.

Bertemakan “Keseronokan Bekerja Pemangkin Produktiviti dan Kebahagiaan”, program tersebut menekankan kepentingan keseimbangan antara kesihatan fizikal dengan mental dalam mewujudkan suasana kerja yang harmoni.
Reruai pameran Klinik Fisioterapi UKM menjadi tumpuan apabila menawarkan saringan kesihatan asas seperti pemeriksaan tekanan darah, penilaian postur, kekuatan otot dan tahap fleksibiliti, selain khidmat nasihat daripada ahli fisioterapi profesional.



Menurut Penyelaras Klinik Fisioterapi UKM, Puan Fazlina Fadzil, penyertaan itu memberikan peluang kepada pihaknya untuk memperkenalkan peranan fisioterapi kepada masyarakat, khususnya dalam pencegahan kecederaan muskuloskeletal serta pengurusan kecergasan fizikal dalam kalangan pekerja.
Katanya,
Banyak orang tidak menyedari bahawa masalah fizikal seperti ketegangan otot dan postur yang tidak betul boleh memberikan kesan terhadap kesihatan mental, maka pendekatan yang holistik menerusi fisioterapi berupaya membantu individu untuk meningkatkan kualiti hidup dan menangani tekanan kerja yang tinggi.
Sementara itu, Ketua Program Fisioterapi, UKM, YBrs. Dr. Azzuan Ahmad turut menarik perhatian pengunjung melalui ceramahnya yang bertajuk “Ergonomik di Tempat Kerja” yang membincangkan tentang kepentingan postur, susun atur meja kerja dan pergerakan badan yang betul semasa bekerja.
Menurut beliau, reka bentuk tempat kerja yang ergonomik bukan sahaja mencegah kecederaan muskuloskeletal, tetapi juga meningkatkan tumpuan dan kepuasan kerja.
Ujarnya,
Ergonomik bukan tentang kerusi yang selesa tetapi cara kita menggunakan tubuh dengan betul sepanjang hari bekerja.
Pada masa yang sama, beliau turut memperkenalkan teknik regangan mudah yang boleh dilakukan di meja kerja bagi mengurangkan keletihan otot serta melancarkan peredaran darah ke otak, sekali gus membantu mengekalkan tumpuan.

Program yang berlangsung sepanjang hari itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang penjagaan diri dalam kalangan penjawat awam, malah memperkukuh kerjasama antara institusi akademik dengan agensi kerajaan dalam melahirkan masyarakat kerja yang sihat, positif dan berdaya saing.