Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh budaya penyelidikan dan kreativiti menerusi penganjuran Hari Penyelidikan dan Inovasi@FSK 2025 buat julung-julung kalinya.
Program yang bertemakan “Kajian Membara, Inovasi Menyala” itu menjadi platform kepada warga akademik dan bukan akademik untuk mempamerkan hasil inovasi mereka serta memperkukuh jalinan kerjasama antara industri dengan komuniti.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat IDEA, UKM, YBrs. Profesor Dr. Jamia Azdina Jamal yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), UKM.

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Satirah Zainalabidin, program ini mencerminkan komitmen fakulti dalam memupuk budaya penyelidikan dan inovasi yang mampan dalam kalangan warga akademik, staf sokongan serta pelajar.
Katanya,
Hari Penyelidikan dan Inovasi@FSK 2025 bukan sekadar pertandingan, tetapi satu wadah untuk menyemai semangat ingin tahu, mengasah daya cipta dan menggalakkan kolaborasi antara disiplin kerana setiap inovasi yang dihasilkan berpotensi besar untuk diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar dalam bidang kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut menyatakan bahawa program ini akan dijadikan sebagai acara tahunan bagi merancakkan ekosistem penyelidikan dan inovasi di UKM, seterusnya memperkukuh hubungan strategik antara akademia, industri dengan komuniti, sekali gus menjadi pemangkin kepada lebih banyak hasil penyelidikan yang dapat dikomersialkan serta memberikan impak positif kepada pembangunan sains kesihatan negara.
Ujarnya,
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan peserta atas kejayaan dalam menjayakan acara yang mencerminkan kecemerlangan FSK dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
Program tersebut dimulakan dengan seminar inovasi yang menampilkan sesi perkongsian daripada Puan Izzaidah Ishak (Inovasi@UKM) dan Encik Norhishah Elias (Jabatan Pendaftar) dan diikuti dengan sesi perkongsian ilmu inovasi oleh Encik Mohamad Norman Mohd. Nordin dari Jabatan Perkhidmatan Radiologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
Sebagai menghargai kolaborasi bersama-sama industri, empat syarikat telah dianugerahkan sijil penghargaan atas pelibatan mereka dalam penghasilan lima produk inovasi penyelidik FSK, iaitu Premier Integrated Rehab Sdn. Bhd. (iAGELESS dan WR2); Sailli Viroha (M) Sdn. Bhd. (WE-RISE); Your Physio Sdn. Bhd. (WE-SURF™) dan O-Sentai Enterprise (Portion Masters).
Acara kemuncak menyaksikan 52 penyertaan inovasi telah dipertandingkan dalam empat kategori utama, iaitu Kategori Penyelidikan, Klinik, Makmal dan Pejabat dengan 20 projek dianugerahkan pingat emas, 19 pingat perak dan 13 pingat gangsa.

Anugerah Berlian, iaitu anugerah tertinggi bagi pertandingan inovasi tersebut dimenangi oleh pasukan yang diketuai oleh YBrs. Dr. Muhammad Safwan Ahmad Fadzil melalui inovasi “Transforming Occupational Dose Monitoring through Radiation Dose Observation and Notification (RaDON) System” yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200.

Pada masa yang sama, pasukan NEUROSPARK EIP turut diumumkan sebagai Pemenang Reruai Terbaik.
Turut hadir ialah Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI@UKM), YBrs. Profesor Dr. Sawal Hamid Md. Ali dan Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar.