Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan program MYStartup sebagai usaha untuk memastikan program pembangunan syarikat pemula dilaksanakan dengan berkesan. Program yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim semalam merupakan kesinambungan Pelan Halatuju Startup Kebangsaan (SUPER) 2021 – 2030 dan portal MYStartup yang telah dibangunkan sebelum ini.

Menurut Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, inisiatif MYStartup adalah bertujuan untuk memperkasakan ekosistem pemula niaga di Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM20 juta seperti yang telah diumumkan dalam Bajet 2022.
MOSTI menyasarkan untuk mewujudkan lebih 5000 syarikat pemula niaga dan lima syarikat berstatus unikorn menjelang tahun 2025 menerusi pelaksanaan program ini.
Program MYStartup terdiri daripada beberapa program seperti MYHackathon 2022, MY Startup Pre-Accelator, MYStartup Intership dan MY Startup Mentorship yang bertujuan untuk memperkasakan ekosistem dan komuniti syarikat pemula di Malaysia. Setiap program ini disasarkan untuk menyokong pembangunan dan perkembangan syarikat pemula secara mampan dalam jangka masa panjang melalui pengisian yang tertumpu kepada pembangunan kapasiti dan modal insan.
Platform MYStartup akan menyatukan pelbagai pemain industri dan mewujudkan kerjasama supaya tidak bekerja secara solo, manakala program MYStartup pula akan memberi bimbingan secara holistik bermula di peringkat penciptaan idea, pertumbuhan, bimbingan teknikal dan sokongan pembiayaan.
“Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) akan menguruskan ekosistem pembangunan syarikat pemula daripada fasa pemulaan sehingga pertumbuhan bagi meningkatkan daya saing syarikat pemula tempatan di peringkat antarabangsa,” tambah beliau.
Inisiatif ini adalah selari dengan pelan hala tuju dan rangka tindakan berlandaskan Sains, Teknologi dan Inovasi dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030 seiring dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021 – 2030.
Para syarikat pemula, pelabur, pemain dan pembina ekosistem di Malaysia digalakkan untuk mendaftar pada platform MYStartup di www.mystartup.gov.my bagi mendapatkan akses kepada cerapan dan sumber mengenai ekosistem permulaan perniagaan di Malaysia.
(Sumber: Facebook MOSTI)