Diterbitkan pada 20 Ogos 2025, 09:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Khidmat Siswa Komuniti yang bertemakan “Radiate Kindness, Transform Lives” bertujuan untuk memberdayakan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan dalam penjagaan kesihatan serta meningkatkan kesedaran mereka mengenai kanser.

Program yang dianjurkan oleh pelajar Program Pengimejan Diagnostik dan Radioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dilaksanakan di Malaysian Association for the Blind (MAB), Brickfields.

Golongan OKU penglihatan sering berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan maklumat kesihatan yang tepat, terutamanya berkaitan dengan penyakit serius seperti kanser.

Program ini dirangka untuk memberikan pengetahuan agar golongan tersebut dapat mengambil langkah pencegahan terhadap penyakit berbahaya, selain menyedari akan kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Menurut Pengasas MAB, YBhg. Dato’ George Thomas, golongan OKU penglihatan sering kekurangan akses kepada maklumat kesihatan yang relevan, maka program seperti ini memberikan peluang kepada mereka untuk memperoleh ilmu dan menjaga kesihatan dengan lebih baik.

Sepanjang dua hari penganjuran program berkenaan, pelbagai aktiviti yang memberikan impak positif telah dijalankan termasuklah gotong-royong membersihkan kawasan MAB bagi mengeratkan hubungan antara peserta dengan sukarelawan.

Aktiviti gotong-royong di sekitar kawasan bangunan MAB.

Aktiviti sukaneka seperti bola gol dan showdown turut dianjurkan dengan penyesuaian khusus bagi golongan OKU penglihatan untuk menggalakkan mereka kekal aktif dalam suasana yang ceria.

Selain itu, terdapat juga pameran kesihatan tentang kanser payudara, kanser serviks, kanser testis serta pemeriksaan audiologi, di samping penilaian pemakanan dan pendidikan kesihatan gigi, sekali gus memberikan pendedahan kepada para peserta tentang amalan pemakanan sihat dan penjagaan gigi yang betul bagi meningkatkan kualiti hidup mereka.

Sesi ujian pendengaran sedang dijalankan terhadap peserta oleh pelajar Program Audiologi, FSK, UKM.
Pelajar Program Pergigian, FSK, UKM menunjukkan teknik penjagaan gigi yang betul kepada para peserta.
Komuniti OKU penglihatan didedahkan dengan pendidikan kesedaran kanser payudara melalui kaedah sentuhan dan teknik pemeriksaan sendiri dalam program Khidmat Siswa Komuniti.

Seorang daripada peserta program, Rozali Bidin menyatakan bahawa program tersebut telah memberikan peluang kepada dirinya untuk lebih memahami tentang kepentingan pemeriksaan kesihatan dan memberikan maklumat penting mengenai pencegahan kanser serta meyakinkannya untuk lebih mengutamakan pemeriksaan kesihatan.

Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Prasiswazah), FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Akmal Sabarudin.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pelibatan pelajar dalam program sebegini bagi mengasah kemahiran insaniah, di samping memberikan manfaat kepada masyarakat.

Katanya,

Program ini bukan sahaja memberikan impak kepada golongan OKU penglihatan, malah memperkaya pengalaman mahasiswa UKM dalam memberikan sumbangan kepada komuniti.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif utamanya, iaitu memberdayakan golongan OKU penglihatan dengan pengetahuan tentang penjagaan kesihatan dan kesedaran mengenai kanser, sekali gus membuktikan komitmen mahasiswa UKM dalam memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat serta memperkukuh hubungan antara universiti dengan komuniti.

Program seumpama ini sewajarnya diteruskan pada masa hadapan untuk memberikan lebih banyak peluang kepada mahasiswa UKM menyumbang impak positif kepada golongan yang memerlukan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi