Diterbitkan pada 12 Ogos 2025, 18:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gelugor – Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf sebagai Pusat Penilaian APEL, iaitu pengiktirafan yang mengangkat peranan universiti ini dalam melaksanakan agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan taraf pendidikan masyarakat daripada peringkat asas hingga ke kelayakan tertinggi, sambil membuka ruang yang lebih luas untuk rakyat Malaysia memperbaik kualiti hidup.

APEL atau Accreditation of Prior Experiential Learning merupakan proses sistematik yang melibatkan pengenalpastian, pendokumentasian dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman lalu.

Pendekatan ini memberikan peluang kepada individu yang memiliki pengalaman kerja tetapi kurang atau tiada kelayakan akademik untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan negara.

Di USM, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) menerima pelajar lulusan APEL melalui Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) yang diakreditasi dan dibangunkan selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa.

Poster permohonan RPJJ yang dibuka sehingga 22 September 2025.

Melalui RPJJ, pelajar berpeluang mengikuti pengajian berkurikulum relevan, dibimbing oleh pensyarah berpengalaman dan memanfaatkan kaedah pembelajaran fleksibel yang membolehkan mereka menyeimbangkan komitmen kerjaya, keluarga dan pendidikan.

Antara program yang ditawarkan termasuklah Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Biologi, Matematik, Sains Politik, Antropologi dan Sosiologi, Ekonomi, Sejarah, Kewangan, Pemasaran, serta Strategi dan Pengurusan Organisasi, semuanya dengan kepujian.

Alumni RPJJ, Alloysius Anak Nain menyifatkan sistem pembelajaran fleksibel USM sebagai peluang besar untuk mencapai cita-cita tanpa mengorbankan pekerjaan dan keluarga.

Beliau yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Antropologi-Sosiologi) dan penerima Pingat Emas USM turut menegaskan bahawa komitmen pensyarah dan sokongan pentadbiran universiti telah meletakkan piawaian yang tinggi untuk institusi pembelajaran jarak jauh di rantau ini.

Menurut beliau, mod pembelajaran ini amat sesuai untuk golongan dewasa yang bekerja kerana memahami keperluan serta kekangan mereka sambil menawarkan pengalaman akademik setanding universiti penyelidikan terkemuka.

Selain bersifat fleksibel,  kos pengajian RPJJ USM yang kompetitif menjadikannya pilihan yang tepat bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian tanpa terbeban dengan masalah kewangan.

Walaupun dijalankan secara jarak jauh, pelajar tetap diterapkan dengan identiti sebagai warga universiti penyelidikan yang menjuarai agenda kelestarian melalui penggunaan teknologi terkini, inovasi pengajaran dan pembelajaran serta perkhidmatan sokongan menyeluruh.

Permohonan kemasukan ke RPJJ bagi fasa kedua dibuka sehingga 22 September 2025 dan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang https://pohon.usm.my, apel.usm.my atau dengan menghubungi PPPJJ di talian 04-653 6197.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi