Diterbitkan pada 31 Julai 2025, 18:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lebih 250 juru x-ray dan ahli akademik dalam bidang pengimejan diagnostik serta terapi perubatan dari dalam dan luar negara berhimpun di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur bersempena dengan Persidangan Saintifik dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-55 anjuran Malaysian Society of Radiographers (MSR).

Bertemakan “Visibility and Connectivity for a Sustainable Future”, persidangan selama dua hari bermula 25 Julai 2025 itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, YBhg. Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan keperluan untuk memperkukuh keterlihatan profesion juru-x-ray dalam sistem penjagaan kesihatan negara serta memupuk jaringan kerjasama antara pelbagai disiplin dengan institusi.

“Radiografi kini berada di barisan hadapan dalam penyampaian rawatan dan diagnosis moden. Usaha memperkasakan keterlihatan dan keterhubungan golongan profesional ini amat penting dalam memastikan masa hadapan perkhidmatan kesihatan yang mampan dan responsif,” tegas beliau.

Beliau turut menyeru agar para pengamal profesion ini lebih inovatif dan sentiasa bersedia memanfaatkan kemajuan teknologi bagi mendepani cabaran kesihatan yang semakin kompleks.

Sesi lawatan Menteri Kesihatan, YBhg. Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ke reruai bagi melihat teknologi terkini yang ditawarkan oleh industri dalam bidang pengimejan dan terapi perubatan.

Persidangan dimulakan dengan pembentangan utama oleh Puan Ji-Hyun Park, Juru-x-ray Terapi Kanan dari Jabatan Onkologi, Pusat Perubatan Samsung, Korea Selatan yang berkongsi pendekatan klinikal terkini berkaitan dengan penggunaan terapi proton yang dilaksanakan di institusi beliau.

Sepanjang persidangan, lapan sesi pleno telah dianjurkan melibatkan tokoh jemputan dari pelbagai institusi yang membincangkan aspek penting dalam bidang pengimejan dan terapi perubatan yang menyentuh isu amalan klinikal semasa, inovasi teknologi serta hasil penyelidikan terkini.

Sebanyak 17 kertas kajian telah dibentangkan yang merangkumi dapatan baharu dalam penyelidikan, amalan profesional dan aplikasi teknologi dalam bidang radiografi.

Pada hari kedua, satu sesi forum interaktif telah diadakan yang melibatkan perbincangan pelbagai isu semasa dan cabaran profesion juru-x-ray.

Presiden MSR, Ts Sawal Marsait dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong usaha memperkasa profesion juru-x-ray di Malaysia, khususnya dalam aspek pengiktirafan profesional dan pembangunan berterusan.

Presiden MSR, Ts Sawal Marsait bertindak sebagai panel forum bersama-sama dua panel jemputan, Encik Mohd Aiman Azmardi dan YBrs. Dr. Nur Hayati Jasmin.

“Kita mahu memastikan profesion juru-x-ray bukan sahaja kekal relevan, malah diiktiraf sebagai komponen penting dalam sistem kesihatan negara yang berdaya saing dan lestari,” katanya.

Barisan pembentang kertas penyelidikan bergambar kenangan bersama Ahli Jawatankuasa Saintifik persidangan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi