Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohol – Program MedSTEM Explorers 2.0 anjuran Jabatan Pengimejan Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, KPJ Healthcare University (KPJU) telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Senibai, Johol yang melibatkan penyertaan lebih 100 murid sekolah rendah daripada komuniti orang asli di Negeri Sembilan.
Program peringkat negeri ini merupakan pendekatan pendidikan yang bertujuan menyemai minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), khususnya sains kesihatan.
Program ini merupakan hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Agensi Nuklear Malaysia serta Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan untuk memperkukuh usaha memperluas akses pendidikan berkualiti kepada komuniti luar bandar, khususnya murid orang asli.
Menurut Pengarah Program MedSTEM Explorers 2.0, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain yang juga Pensyarah Kanan dan Teknologis Profesional di Jabatan Pengimejan Perubatan, KPJU, MedSTEM Explorers 2.0 merupakan kesinambungan kepada penganjuran program terdahulu dan direka bentuk bagi memberikan pendedahan awal tentang kerjaya dalam bidang kesihatan seperti radiografi, kejururawatan, farmasi dan terapi pemulihan.

“Melalui aktiviti interaktif seperti eksperimen sains, pembinaan model badan manusia dan simulasi penjagaan kesihatan, murid dapat memahami konsep asas STEM serta membina keyakinan diri dan kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan dan penyelesaian masalah,” ujar beliau.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah eksperimen Cloud Chamber, permainan Periodic Table Scrabble, Human Puzzle dan penggunaan teknologi realiti maya untuk mengenal pasti organ manusia.

Pelajar turut menyertai pembinaan model sistem peredaran darah, aktiviti pemakanan sihat dan simulasi amalan mencuci tangan mengikut prosedur kesihatan yang betul.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Pengerusi Bertindak Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Yang Berbahagia Dato’ Haji Ismail Lasim.

Inisiatif ini turut menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi agar semua pihak berganding bahu dalam usaha memperkasakan minat generasi muda terhadap STEM sebagai asas kepada kemajuan negara.

Pelaksanaan MedSTEM Explorers 2.0 turut disokong oleh dana daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi inisiatif Program Kesedaran dan Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di bawah SciTech4U – STEM CAMP MOSTI 2025.

Turut hadir dalam program ini ialah Dekan Fakulti Sains Kesihatan KPJU, YBrs. Profesor Madya Dr. Khairiah Abdul Hamid; Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Puan Dhalia @ Evelyn Lamjin; Timbalan Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah, Encik Rosafiz Sudin; serta Guru Besar SK Senibai, Puan Mastura Khamis.