Diterbitkan pada 19 Julai 2025, 13:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Pendidikan tinggi kini lebih mudah dicapai menerusi pendekatan pembelajaran jarak jauh yang fleksibel dan berpatutan dan inilah yang bakal ditawarkan kepada orang ramai menerusi penganjuran ODL Experience Day @ PPPJJ USM pada Ogos ini.

Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) akan menganjurkan program Hari Terbuka pada 1 Ogos dan 2 Ogos 2025 bertempat di kampus PPPJJ, USM Pulau Pinang dari pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

Program ini bertujuan untuk memperkenalkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan pembelajaran jarak jauh yang ditawarkan, khususnya bagi pengambilan pelajar baharu sidang akademik 2025/2026.

Hari Terbuka ini merupakan inisiatif PPPJJ USM untuk membuka ruang kepada masyarakat umum, termasuklah pelajar lepasan sekolah, penjawat awam, pekerja sektor swasta, ibu bapa serta individu yang berminat melanjutkan pengajian secara fleksibel tanpa perlu hadir ke kampus.

PPPJJ USM menyediakan platform pembelajaran terbuka dan dalam talian (ODL) yang membolehkan individu menyambung pengajian tinggi secara kendiri tanpa terikat kepada kehadiran fizikal di bilik kuliah.

Melalui sistem RPJJ yang ditawarkan, pelajar mendapat akses kepada bahan pengajaran digital, kuliah serta bimbingan secara dalam talian selain penilaian kursus yang turut dilaksanakan secara digital sepenuhnya.

Poster ODL Experience Day @ PPPJJ USM.

Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos pengajian, malah turut menawarkan kebebasan masa dan lokasi kepada pelajar yang berdepan dengan kekangan komitmen kerja dan keluarga.

PPPJJ USM menekankan prinsip pembelajaran sepanjang hayat melalui pakej yuran pengajian yang kompetitif serta kaedah pengajaran yang selari dengan kemajuan teknologi semasa.

Sebagai institusi pendidikan yang disokong oleh reputasi USM, PPPJJ turut mendukung pencapaian cemerlang universiti itu dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025 apabila USM diiktiraf sebagai universiti terbaik dunia bagi tiga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Tiga SDG tersebut ialah SDG 1: Tiada Kemiskinan, SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh serta SDG 17: Perkongsian Demi Matlamat yang menjadi bukti komitmen USM terhadap kelestarian dan akses pendidikan sejagat.

Hari Terbuka ini juga memberi peluang kepada para pengunjung untuk berinteraksi secara langsung bersama pensyarah dan mendapatkan maklumat terperinci berkenaan program akademik yang ditawarkan di bawah PPPJJ USM.

Program pengajian yang ditawarkan merangkumi pelbagai bidang pada peringkat prasiswazah dan siswazah yang bersifat interdisiplin serta memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

Antara program prasiswazah yang ditawarkan termasuklah Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Biologi dengan Kepujian, Matematik dengan Kepujian serta pelbagai program dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pengurusan.

Program dalam bidang Sains Kemasyarakatan yang ditawarkan merangkumi Sains Politik, Antropologi dan Sosiologi, Ekonomi serta Sejarah manakala bidang Pengurusan meliputi Kewangan, Pemasaran dan Strategi serta Pengurusan Organisasi.

Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai pengisian bermanfaat turut disusun antaranya sesi taklimat kemasukan bagi program prasiswazah dan pascasiswazah, taklimat tentang Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) serta program dwiijazah.

Sesi perkongsian pengalaman alumni, pertandingan dan kelas kreatif, lawatan ke kemudahan pembelajaran ODL serta pameran maklumat turut memeriahkan acara.

Permohonan kemasukan fasa kedua ke dalam sistem RPJJ USM telah dibuka sejak 13 Mei 2025 dan akan ditutup pada 22 September 2025 melalui laman rasmi https://pohon.usm.my.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan Hari Terbuka atau proses permohonan boleh disalurkan kepada pihak PPPJJ USM di talian 04-653 6197 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi