Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lawatan akademik pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuka lembaran baharu dalam pemantapan ilmu sukan para secara praktikal.
Program ini melibatkan penyertaan sebanyak 24 pelajar dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, UPSI yang dibawa menelusuri pelbagai aspek kecederaan saraf tunjang dan kemahiran pengendalian kerusi roda melalui pengisian intensif di Fakulti Sains Kesihatan, UKM.
Keseluruhan program dikelolakan oleh YBrs. Dr. Azrul Anuar Zolkafi dari UPSI yang turut berkolaborasi bersama YBrs. Dr. Noor Hafifi Noorhisham, Pensyarah Program Fisioterapi UKM sebagai penyelaras dan penceramah utama yang memimpin sesi pengajaran sepanjang lawatan tersebut.

Sebagai sebahagian daripada pengisian utama, pelajar dibawa melawat Klinik Fisioterapi UKM untuk meninjau secara langsung kemudahan rawatan dan peralatan yang digunakan dalam pemulihan pesakit kecederaan saraf tunjang.
Pengalaman ini disusuli dengan pembelajaran berkaitan modul kecederaan saraf tunjang, teknik senaman asas untuk pengguna kerusi roda dan pendekatan PARAFiT yang menjadi asas penting kepada pengurusan kesihatan dan kecergasan atlet para.

Seterusnya, pelajar turut menjalani sesi latihan pengendalian kerusi roda dalam pelbagai konteks kehidupan, termasuklah aspek keselamatan, pergerakan kendiri dan kecekapan beradaptasi dalam persekitaran sebenar.
Menurut YBrs, Dr. Azrul Anuar Zolkafi, lawatan ini memberi dimensi tambahan kepada pemahaman pelajar terhadap peranan mereka sebagai profesional sukan yang bukan sahaja menumpu kepada prestasi, malah kepada kesejahteraan dan kebajikan atlet.
“Pelajar perlu memahami skop kerjaya mereka yang turut merangkumi peranan dalam membina komuniti sukan yang inklusif dan menyokong keperluan atlet para dengan lebih bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, YBrs. Dr. Noor Hafifi menyatakan bahawa pengetahuan yang mendalam mengenai fisiologi dan komplikasi kecederaan saraf tunjang penting untuk melahirkan graduan yang mampu memberikan intervensi tepat dan beretika kepada atlet para serta komuniti orang kurang upaya (OKU).
“Kami percaya pendedahan awal sebegini mampu memperkukuh kefahaman pelajar terhadap bidang kesihatan dan sekali gus menyokong pembangunan sukan para di Malaysia,” ujar beliau.