Diterbitkan pada 15 Julai 2025, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmennya dalam menyediakan akses kepada pendidikan tinggi kepada masyarakat melalui Rancangan Pendidikan Jarak Jauh (RPJJ) yang menawarkan pengajian yang fleksibel dan dalam talian.

Program yang mula diperkenalkan sejak tahun 1971 itu membuka ruang kepada individu daripada pelbagai latar belakang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi tanpa perlu meninggalkan alam pekerjaan.

Konsep utama RPJJ USM adalah fleksibiliti yang membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dari pelbagai lokasi melalui bahan kendiri, kuliah, bimbingan dan penilaian secara dalam talian.

Melalui RPJJ, peluang untuk individu menimba ilmu di universiti belum berakhir kerana program ini menawarkan kursus yang berupaya meningkatkan kemahiran dan kelayakan mereka tanpa perlu keluar daripada alam pekerjaan.

Program ini amat relevan pada masa ini, khususnya kepada golongan pekerja yang tidak berpeluang menyambung pengajian selepas tamat persekolahan yang meningkatkan kelayakan dan kemahiran individu, selain mampu menyumbang kepada pembangunan peribadi dan profesional mereka.

Manfaat RPJJ turut dirasai oleh majikan apabila pekerja mereka dapat mengikuti pengajian tanpa perlu meninggalkan tugasan harian, sekali gus membina tenaga kerja yang lebih berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Setakat ini, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Biologi dengan Kepujian; Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Matematik dengan Kepujian; Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Sains Politik dengan Kepujian; Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Antropologi dan Sosiologi dengan Kepujian; Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Ekonomi dengan Kepujian; Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Sejarah dengan Kepujian; Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Kewangan dengan Kepujian; Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Pemasaran dengan Kepujian serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Strategi dan Pengurusan Organisasi dengan Kepujian.

RPJJ USM turut disokong oleh pelantar pembelajaran dalam talian serta perkhidmatan sokongan yang menyeluruh bagi memastikan pengalaman pembelajaran yang optimum untuk para pelajar.

USM turut menyediakan kod QR untuk memudahkan urusan permohonan secara dalam talian.

Permohonan kemasukan ke RPJJ USM Fasa Kedua dibuka mulai 13 Mei 2025 hingga 22 September 2025.

Calon yang berminat boleh melayari laman sesawang PPPJJ atau menghubungi talian 04-653 6197 untuk maklumat lanjut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi