Diterbitkan pada 2 Julai 2025, 14:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kesedaran awal tentang sains kesihatan dalam kalangan pelajar sekolah terus diberikan perhatian menerusi pelaksanaan program literasi yang berlangsung di Ash Shura Institute of Quranic Sciences (ASIQS), Bukit Jelutong, Shah Alam.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Kajian Diagnostik, Teraputik dan Penyiasatan (CODTIS), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama ASIQS dan Adina Charity Circle sebagai usaha memperluas akses ilmu berkaitan dengan bidang sains kesihatan kepada pelajar peringkat rendah dan menengah.

Matlamat utama program adalah untuk meningkatkan pengetahuan, memupuk minat serta memperkenalkan pelbagai peluang kerjaya dalam bidang sains kesihatan sejak usia muda bagi melahirkan generasi yang celik kesihatan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Pelaksanaan program bersempena dengan Persidangan Ibu Bapa dan Guru ASIQS ini melibatkan pengisian ceramah serta aktiviti interaktif yang dirangka khusus untuk pelajar dan komuniti sekolah.

Antara penceramah jemputan termasuklah tiga penyelidik dari CODTIS, iaitu YBrs. Dr. Nurulamin Abu Bakar, YBrs. Dr. Afifah Mohamed dan Dr. Norhashimah Mohd Norsuddin yang berkongsi tentang bidang kerjaya sains kesihatan, teknologi pengimejan jantung serta pentingnya kesedaran awal terhadap kanser payudara.

YBrs. Dr. Norhashimah Mohd Norsuddin menyampaikan ceramah kesedaran awal dan langkah pencegahan kanser payudara kepada para pelajar dalam program literasi sains kesihatan di ASIQS, Shah Alam.

Selain sesi ceramah, program turut menyediakan pameran interaktif yang membolehkan pelajar mencuba alat bacaan sinar-x, menjalani pemeriksaan tekanan darah serta menjalani ujian neuropsikologi secara praktikal dan menyeronokkan.

Pengarah Urusan ASIQS, Encik Mudasir Abdullah menyifatkan program ini sebagai usaha penting dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kesedaran awal terhadap penjagaan kesihatan diri dan kesejahteraan keluarga dalam kehidupan seharian.

“Pendedahan kepada ilmu sains kesihatan perlu dimulakan sejak di bangku sekolah kerana usaha tersebut bukan sahaja memberikan manfaat kepada pencapaian individu, tetapi turut menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih berpengetahuan dan bertanggungjawab dalam aspek kesihatan,” hurainya lagi.

Di samping itu, menurut YBrs. Dr. Nurulamin Abu Bakar, pendekatan pendidikan secara langsung mampu membuka minda pelajar terhadap potensi bidang sains kesihatan yang luas dan berperanan besar dalam kesejahteraan masyarakat.

YBrs. Dr. Nurulamin Abu Bakar menyampaikan ceramah tentang peranan ahli sains kesihatan dalam sistem penjagaan kesihatan di Malaysia dengan memberikan penekanan kepada sumbangan mereka dalam diagnosis, rawatan dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau menambah bahawa pendedahan seumpama ini amat penting bagi merangsang minat pelajar terhadap kerjaya sains kesihatan yang selama ini mungkin kurang diperkenalkan, sedangkan bidang ini mempunyai peranan besar dalam sistem penjagaan kesihatan dan pembangunan masyarakat.

Pelajar yang ditemui, Nur Hanan, menyatakan keterujaannya apabila mengetahui bahawa bidang sains kesihatan menawarkan pelbagai peluang kerjaya yang menarik selain daripada profesion sebagai doktor, termasuklah dalam bidang diagnostik, penyelidikan, terapi dan teknologi kesihatan.

Antara aktiviti interaktif yang berlangsung semasa program literasi sains kesihatan di ASIQS, Bukit Jelutong yang menarik minat pengunjung.

“Pengalaman melihat demonstrasi alat perubatan dan mendengar perkongsian terus daripada pakar telah membuka pandangan saya terhadap kepelbagaian peranan dalam sistem penjagaan kesihatan yang selama ini kurang diketahui,” jelasnya lagi.

Sementara itu, sokongan daripada Adina Charity Circle dalam bentuk penyediaan logistik, bantuan promosi serta sumbangan hadiah telah memainkan peranan penting dalam melancarkan perjalanan program.

Pelibatan aktif organisasi komuniti seperti ini membuktikan bahawa kerjasama antara institusi pendidikan dengan masyarakat mampu memberikan impak yang lebih meluas dalam usaha menyemai kesedaran kesihatan dan memupuk minat terhadap bidang sains kesihatan dalam kalangan pelajar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi