Diterbitkan pada 27 Jun 2025, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Labu – Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCH), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan program Jangkauan Komuniti di  Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu (SMAPL) sebagai sebahagian daripada usaha penyelidikan dan intervensi kesihatan dalam komuniti.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah, tentang kepentingan penjagaan kesihatan.

Program yang dahulunya dikenali sebagai Kembara Sihat telah memasuki siri keempat penganjurannya dan menjadikan institusi pendidikan di seluruh negara sebagai lokasi utama pelaksanaan aktiviti.

Sepanjang program di SMAPL, pelbagai aktiviti saringan kesihatan, termasuklah pemeriksaan penglihatan, penilaian status pemakanan dan kesihatan psikologi telah dijalankan yang melibatkan pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 2.

Pelajar FSK, UKM sedang menjalankan ujian saringan penglihatan ke atas pelajar sekolah SMAPL

Menurut Pengarah Program Jangkauan Komuniti 4.0, YBrs. Profesor Madya Dr. Nik Shanita Safii, kejayaan penganjuran program ini tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan padu daripada pihak sekolah, para penaja dan wakil alumni.

Sementara itu, wakil Pengetua SMAPL, Tuan Haji Mohd Azizee Hassan menyatakan bahawa pihak sekolah amat menghargai pelaksanaan program tersebut yang dilihat mampu memperkukuh kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap kepentingan amalan gaya hidup sihat.

Beliau turut mengungkapkan kata-kata hikmah “Akal yang sihat bermula dari badan yang sihat” sebagai dorongan agar para pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya saringan yang dijalankan.

Proses saringan telah dilaksanakan secara berperingkat mengikut jadual kelas dan melibatkan sejumlah 300 orang pelajar sepanjang tempoh enam jam.

Hasil daripada pemeriksaan penglihatan yang dijalankan, sebanyak 50 pelajar telah menerima cermin mata secara percuma melalui tajaan Hanizah Optometry, Millenium Vision dan Hoya (M) Sdn. Bhd.

Dan daripada pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 50 pasang kaca mata telah diberikan kepada pelajar yang ditaja sepenuhnya oleh Hanizah Optometry, Millenium Vision, dan Hoya (M) Sdn. Bhd.

Selain itu, Unit Promosi Fakulti Sains Kesihatan turut mengambil bahagian dalam memberikan pendedahan awal berkaitan dengan program pengajian yang ditawarkan di FSK.

Sesi ini menyasarkan pelajar dari Tingkatan 3 hingga Tingkatan 6 bagi merangsang minat dan kesedaran awal terhadap kerjaya dalam bidang sains kesihatan.

Sebelum ini, program yang sama telah dijalankan di Sekolah Menengah Sains Gua Musang, Kelantan dan Sekolah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang.

Program ini turut dihadiri oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Umi Kelsom Nayan; Penolong Kanan Pentadbiran, Tn. Hj. Muhammad Shukri Zainuddin; dan Presiden Persatuan Alumni SMAPL, IKMAL.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi