Diterbitkan pada 19 Jun 2025, 18:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran Seminar Teknik Kultur Sel–Gerbang kepada Penilaian Sitotoksik telah memberikan pendedahan yang komprehensif berkaitan dengan teknik kultur sel yang menjadi asas penting dalam kajian bioperubatan, terutamanya dalam penilaian sitotoksik.

Demikian antara inti pati ucapan yang disampaikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Normah Awang selaku pemangku Pengerusi Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika merasmikan seminar berkenaan.

Seminar yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, FSK, UKM dengan kerjasama Apical Scientific Sdn. Bhd. itu telah berjaya mengumpulkan para penyelidik dan ahli akademik dalam bidang sains bioperubatan dan toksikologi bagi memperkasakan pengetahuan dan kemahiran dalam teknik kultur sel.

Menurut YBrs. Profesor Madya Dr. Normah Awang,

Seminar ini bukan sahaja memberikan peluang kepada para penyelidik memperoleh ilmu baharu, malah dapat berkongsi pendapat mengenai teknik kultur sel dan penyelidikan sitotoksik serta mendapat manfaat secara langsung melalui sesi teori dan soal jawab yang dikendalikan oleh pakar industri dan penyelidik berpengalaman.

Sementara itu, Puan Mana Shimotsuma dari Nacalai Tesque selaku penceramah undangan dalam seminar berkenaan yang berpengalaman luas dalam bidang biokimia serta pembangunan produk pada peringkat antarabangsa berkesempatan berkongsikan ilmu berkaitan dengan amalan terbaik dalam kultur sel, pemilihan media asas, teknik aseptik serta pendekatan penilaian sitotoksik yang relevan dengan keperluan makmal penyelidikan pada masa ini.

Puan Mana Shimotsuma ketika berkongsikan pengetahuannya mengenai kultur sel.

Dalam tempoh seminar tersebut berlangsung, Puan Mana Shimotsuma turut berkongsikan beberapa panduan penting dalam menghadapi cabaran yang sering dialami oleh para penyelidik sepanjang pelaksanaan kerja penyelidikan.

Penganjuran seminar ini turut menjadi landasan yang penting bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti dengan pihak industri dalam mempertingkatkan keupayaan penyelidikan serta memperluas perkongsian kepakaran antara dua sektor tersebut.

Para peserta memberikan sepenuh perhatian ketika sesi Seminar Teknik Kultur Sel–Gerbang kepada Penilaian Sitotoksik berlangsung.

Sebagai satu daripada syarikat penyedia kemudahan penyelidikan saintifik, Apical Scientific Sdn. Bhd. telah memilih UKM sebagai platform pengembangan ilmu bagi membolehkan perbincangan mengenai teknik terkini dalam kultur sel dilakukan bersama-sama para penyelidik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi