Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Agensi Nuklear Malaysia telah menyertai pameran bersempena dengan Seminar Potensi Air Bawah Tanah di Parlimen Malaysia yang menghimpunkan banyak pakar dari pelbagai agensi bagi berkongsikan dan membincangkan pendekatan strategik dalam pengurusan sumber air negara.

Dalam pameran ini, Agensi Nuklear Malaysia berpeluang untuk mempamerkan dan memfokuskan aplikasi teknologi nuklear dalam pengurusan sumber air, misalnya kaedah pengukuran radon di dalam air, iaitu gas radioaktif semula jadi yang digunakan sebagai penyurih (tracer) bagi mengesan interaksi antara air bawah tanah dengan air permukaan, sekali gus membolehkan interaksi hidraulik dikenal pasti secara lebih tepat dan saintifik.
Selain itu, teknik pengukuran keradioaktifan di dalam air mineral turut dipamerkan dalam pameran berkenaan sebagai langkah pemantauan keselamatan dan kualiti air.
Pelibatan aktif Agensi Nuklear Malaysia dalam program seumpama ini dapat mempertingkatkan penerimaan penggunaan teknologi nuklear dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam menyokong pengurusan sumber air secara mampan melalui pendekatan sains dan teknologi.