Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Timbalan Perdana Menteri II, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Fadillah Yusof bersama-sama Ketua Pengakap Negara, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Profesor Dr. Mohd Zin Bidin telah merasmikan Majlis Pelancaran Lencana Kepandaian Biodiversiti Pengakap di Putrajaya, semalam.

Pelancaran tersebut menjadikan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) sebagai satu-satunya pertubuhan belia tempatan yang memiliki skim lencana bertemakan biodiversiti.
Majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad yang memperkenalkan tiga reka bentuk rasmi lencana biodiversiti tersebut.
Antara wakil PPM yang hadir termasuklah kedua-dua Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Tuan Haji Ahmad Sabri Saad dan Ts. Mohd Hilmi Abu Bakar; Pesuruhjaya Program Negara, Tuan Haji Noor Hashim Ismail serta Setiausaha Program Negara, Tuan Lincoln Tang Tuck Mun.


Menurut Ts. Mohd Hilmi Abu Bakar, pelancaran lencana tersebut diadakan bersempena dengan Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara Ketiga yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri.

Menurut beliau,
Usaha ini merupakan hasil perbincangan antara pihak PPM dengan Unit Sokongan Pelaksanaan Dasar Biodiversiti di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan menerusi hasil perbincangan tersebut, kerjasama rasmi dijalinkan bagi melaksanakan aktiviti berkaitan dengan biodiversiti.
Tambah beliau, program itu juga akan memberikan fokus kepada aktiviti konservasi alam semula jadi seperti pemuliharaan hutan, perlindungan terumbu karang dan spesies haiwan dalam ekosistem tersebut.
Pada masa yang sama, lencana berkenaan adalah selaras dengan Lencana Youth and United Nations Global Alliance (YUNGA) yang ditaja oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ujar beliau,
Melalui pengisian program yang dirancang, pengakap yang terlibat berpeluang memperoleh lencana YUNGA sebagai pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.