Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Komitmen terhadap pengurusan skoliosis yang lebih sistematik dan berkesan menjadi fokus utama dalam bengkel profesional yang berlangsung selama dua hari di Klinik Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bengkel yang bertajuk “Effective Physiotherapy and Exercise Strategies for Scoliosis Management” ini dianjurkan oleh Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, UKM sebagai inisiatif meningkatkan penguasaan ilmu serta kemahiran fisioterapi berasaskan bukti terkini.
Penyertaan sebanyak 34 ahli fisioterapi daripada pelbagai institusi, termasuklah hospital kerajaan, hospital swasta, klinik kesihatan dan pusat fisioterapi persendirian menunjukkan sambutan yang positif terhadap usaha memperkasakan pendekatan rawatan skoliosis secara profesional.
Bengkel ini menampilkan dua penceramah berpengalaman dalam bidang fisioterapi muskuloskeletal, iaitu Encik Ng Chao Feng dari Hospital Sultan Ismail, Johor dan Puan Voon Xin Yi dari Hospital Kajang, Selangor.

Sepanjang dua hari penganjuran, peserta didedahkan kepada sesi intensif yang merangkumi perbincangan kes klinikal, demonstrasi intervensi serta latihan praktikal berkaitan dengan strategi senaman khusus seperti Kaedah Schroth, pengukuhan otot teras dan pembetulan postur dinamik.

Penerapan pendekatan berasaskan bukti melalui sesi interaktif tersebut berjaya meningkatkan keyakinan peserta dalam memilih intervensi yang bersesuaian mengikut tahap dan jenis skoliosis yang dihadapi pesakit.
Peserta turut menyatakan penghargaan terhadap peluang untuk memperluas rangkaian profesional dan bertukar pengalaman dengan rakan sejawat daripada pelbagai latar institusi kesihatan.
Bengkel ini ditutup dengan sesi soal jawab dan maklum balas, diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan kepada penceramah jemputan serta peserta yang hadir.


Penganjuran bengkel ini membuktikan kesungguhan UKM dalam memainkan peranan aktif sebagai pusat rujukan latihan berterusan bagi meningkatkan profesionalisme dan mutu rawatan fisioterapi di Malaysia.