Diterbitkan pada 21 Mei 2025, 12:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Komitmen terhadap pengurusan skoliosis yang lebih sistematik dan berkesan menjadi fokus utama dalam bengkel profesional yang berlangsung selama dua hari di Klinik Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bengkel yang bertajuk “Effective Physiotherapy and Exercise Strategies for Scoliosis Management” ini dianjurkan oleh Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, UKM sebagai inisiatif meningkatkan penguasaan ilmu serta kemahiran fisioterapi berasaskan bukti terkini.

Penyertaan sebanyak 34 ahli fisioterapi daripada pelbagai institusi, termasuklah hospital kerajaan, hospital swasta, klinik kesihatan dan pusat fisioterapi persendirian menunjukkan sambutan yang positif terhadap usaha memperkasakan pendekatan rawatan skoliosis secara profesional.

Bengkel ini menampilkan dua penceramah berpengalaman dalam bidang fisioterapi muskuloskeletal, iaitu Encik Ng Chao Feng dari Hospital Sultan Ismail, Johor dan Puan Voon Xin Yi dari Hospital Kajang, Selangor.

Puan Voon Xin Yi menyampaikan sesi teori yang memperincikan pendekatan sistematik dalam rawatan skoliosis berdasarkan penemuan klinikal semasa.

Sepanjang dua hari penganjuran, peserta didedahkan kepada sesi intensif yang merangkumi perbincangan kes klinikal, demonstrasi intervensi serta latihan praktikal berkaitan dengan strategi senaman khusus seperti Kaedah Schroth, pengukuhan otot teras dan pembetulan postur dinamik.

Sesi praktikal bersama-sama Encik Ng Chao Feng yang membimbing peserta dalam teknik intervensi spesifik bagi pengurusan skoliosis secara klinikal.

Penerapan pendekatan berasaskan bukti melalui sesi interaktif tersebut berjaya meningkatkan keyakinan peserta dalam memilih intervensi yang bersesuaian mengikut tahap dan jenis skoliosis yang dihadapi pesakit.

Peserta turut menyatakan penghargaan terhadap peluang untuk memperluas rangkaian profesional dan bertukar pengalaman dengan rakan sejawat daripada pelbagai latar institusi kesihatan.

Bengkel ini ditutup dengan sesi soal jawab dan maklum balas, diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan kepada penceramah jemputan serta peserta yang hadir.

Encik Ng Chao Feng menerima sijil penghargaan atas sumbangan beliau dalam membimbing sesi praktikal.
Puan Voon Xin Yi menerima sijil penghargaan atas perkongsian ilmu dalam sesi teori yang menekankan pendekatan rawatan skoliosis secara sistematik.

Penganjuran bengkel ini membuktikan kesungguhan UKM dalam memainkan peranan aktif sebagai pusat rujukan latihan berterusan bagi meningkatkan profesionalisme dan mutu rawatan fisioterapi di Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi