Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Teater BANGKIT yang dipentaskan di Auditorium, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama tiga malam berturut-turut telah memukau penonton dengan kisah menyentuh hati tentang perjuangan kanak-kanak berkeperluan khas dalam mendepani cabaran kehidupan pascapandemik.
Pementasan teater ini merupakan kerjasama antara Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri dengan Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta DBP yang memperlihatkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkasakan seni pementasan sebagai medium pendidikan dan kesedaran sosial.

Diarahkan oleh Nasiha Shakina dan Izman Saroni, pementasan ini diinspirasikan daripada buku COVID-19 dan Rehabilitasi Kanak-kanak Berkeperluan Khas hasil penulisan Dr. Hasherah Mohd Ibrahim dan Profesor Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali yang mengangkat naratif pemulihan kanak-kanak selepas dijangkiti COVID-19.
Teater tersebut mengetengahkan babak dramatik yang menggambarkan semangat tidak berputus asa dalam kalangan kanak-kanak yang menghadapi cabaran fizikal dan emosi akibat kesan jangkitan pandemik.
Pelajar Program Fisioterapi UKM turut terlibat secara aktif sebagai kru teknikal pementasan, di bawah bimbingan pensyarah mereka, iaitu Dr. Fatimah Hani Hassan, Dr. Akmaliza Ali dan Dr. Noor Hafifi Noorhisham yang berperanan sebagai pengurus produksi.

Menurut Nasiha Shakina, pementasan ini bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya proses pemulihan dan sokongan menyeluruh kepada kanak-kanak yang mengalami kecacatan atau kelemahan selepas pulih daripada penyakit.
Beliau menegaskan bahawa kesedaran awam terhadap aspek rehabilitasi kanak-kanak masih perlu dipertingkatkan, khususnya dalam konteks pascapandemik yang memberikan kesan mendalam kepada perkembangan fizikal dan emosi mereka.

Pementasan ini berjaya menarik hampir 200 penonton sepanjang tiga malam persembahan yang membuktikan bahawa karya berasaskan nilai kemanusiaan tetap mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai latar.
DBP selaku tuan rumah turut memberikan sokongan penuh kepada usaha penganjuran teater ini dengan menyediakan kemudahan pementasan dan promosi, sekali gus memperkukuh komitmen agensi itu terhadap pembangunan seni dan sastera tanah air.
Beberapa badan bukan kerajaan juga tampil menyokong pementasan ini sebagai satu inisiatif sosial yang menyentuh isu penting berkaitan dengan pemulihan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Barisan pelakon muda yang berusaha menjayakan pementasan ini terdiri daripada Akil, Muaz, Hafiy, Difa dan Fayyad yang memainkan peranan utama, manakala pelakon pembantu seperti Nadzran, Farish, Raisya, Fara, Qaira, Raniyya, Maya, Airis, Puteri, Rania, Athifatun, Raiha, Aira, Khairunnisa, Adra dan Hidayat turut menunjukkan komitmen tinggi.