Diterbitkan pada 12 Mei 2025, 14:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kesungguhan pelajar fisioterapi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan program kesihatan di pusat jagaan warga emas membuktikan bahawa ilmu yang dipelajari di menara gading boleh diterjemahkan menjadi manfaat buat masyarakat.

Dalam usaha memupuk kesedaran kesihatan dan memperkasakan warga emas, pelajar Semester Enam Program Pendidikan Jarak Jauh Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program komuniti di Pusat Jagaan Warga Emas Bait Al-Mawaddah.

Pelajar Semester Enam Program Pendidikan Jarak Jauh Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA melaksanakan program komuniti bersama-sama penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Bait Al-Mawaddah sebagai inisiatif memperkasakan penjagaan kesihatan warga emas.

Program komuniti tersebut yang bertemakan “Rebuild, Recover, Rise” melibatkan penyertaan sebanyak 35 orang penghuni dan 17 orang daripada mereka mengambil bahagian secara aktif dalam sesi saringan kesihatan.

Antara saringan yang dijalankan termasuklah pemeriksaan tekanan darah, penilaian risiko jatuh, pengujian kekuatan otot tangan serta penilaian keseimbangan badan.

Sesi pemeriksaan kesihatan dijalankan menerusi ujian kekuatan otot tangan bagi menilai tahap fungsi fizikal warga emas.
Sesi pemeriksaan tekanan darah dijalankan bagi memantau tahap kesihatan kardiovaskular warga emas.

Dalam program tersebut juga diadakan ceramah kesihatan mengenai risiko jatuh dalam kalangan warga emas dan peranan fisioterapi dalam penjagaan kesihatan warga emas yang disampaikan oleh Encik Amyruddin Abu Kasin dan Puan Siti Nur Akma Kamaruddin.

Warga emas berpeluang mengikuti ceramah kesihatan yang memberikan pendedahan tentang penjagaan diri dan pencegahan risiko jatuh.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak, termasuklah syarikat Bubble O2 yang menyumbangkan air mineral sebagai cenderamata kepada para penghuni.

Sumbangan lain turut diterima daripada Mfaez Food Industries Sdn. Bhd. yang menghulurkan biskut halia sebagai usaha menggalakkan pemakanan sihat dalam kalangan warga emas.

Syarikat Medgelx juga menunjukkan komitmen sosial mereka dengan menyumbangkan krim urut yang diagihkan kepada semua penghuni sebagai tanda penghargaan atas jasa dan usia mereka.

Menurut penasihat program, YBrs. Dr. Noor Azliyana Azizan, penganjuran program ini bukan sahaja memberikan impak positif kepada kesejahteraan fizikal dan emosi warga emas, malah membentuk kemahiran klinikal dan sosial pelajar dalam konteks dunia sebenar.

Pihak pengurusan pusat jagaan tersebut turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif ini dan kerjasama seumpama ini wajar diteruskan pelaksanaannya pada masa hadapan.

Sesi penyampaian cenderamata kepada penasihat program, YBrs. Dr. Noor Azliyana Azizan turut disaksikan oleh Encik Amyruddin Abu Kasin selaku ketua program sebagai tanda penghargaan atas bimbingan dan sokongan yang diberikan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi