Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Kesungguhan pelajar fisioterapi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan program kesihatan di pusat jagaan warga emas membuktikan bahawa ilmu yang dipelajari di menara gading boleh diterjemahkan menjadi manfaat buat masyarakat.
Dalam usaha memupuk kesedaran kesihatan dan memperkasakan warga emas, pelajar Semester Enam Program Pendidikan Jarak Jauh Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program komuniti di Pusat Jagaan Warga Emas Bait Al-Mawaddah.

Program komuniti tersebut yang bertemakan “Rebuild, Recover, Rise” melibatkan penyertaan sebanyak 35 orang penghuni dan 17 orang daripada mereka mengambil bahagian secara aktif dalam sesi saringan kesihatan.
Antara saringan yang dijalankan termasuklah pemeriksaan tekanan darah, penilaian risiko jatuh, pengujian kekuatan otot tangan serta penilaian keseimbangan badan.


Dalam program tersebut juga diadakan ceramah kesihatan mengenai risiko jatuh dalam kalangan warga emas dan peranan fisioterapi dalam penjagaan kesihatan warga emas yang disampaikan oleh Encik Amyruddin Abu Kasin dan Puan Siti Nur Akma Kamaruddin.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak, termasuklah syarikat Bubble O2 yang menyumbangkan air mineral sebagai cenderamata kepada para penghuni.
Sumbangan lain turut diterima daripada Mfaez Food Industries Sdn. Bhd. yang menghulurkan biskut halia sebagai usaha menggalakkan pemakanan sihat dalam kalangan warga emas.
Syarikat Medgelx juga menunjukkan komitmen sosial mereka dengan menyumbangkan krim urut yang diagihkan kepada semua penghuni sebagai tanda penghargaan atas jasa dan usia mereka.
Menurut penasihat program, YBrs. Dr. Noor Azliyana Azizan, penganjuran program ini bukan sahaja memberikan impak positif kepada kesejahteraan fizikal dan emosi warga emas, malah membentuk kemahiran klinikal dan sosial pelajar dalam konteks dunia sebenar.
Pihak pengurusan pusat jagaan tersebut turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif ini dan kerjasama seumpama ini wajar diteruskan pelaksanaannya pada masa hadapan.
