Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTambunan – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menyertai Sambutan Mini Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah (HPPNS) Tahun 2025 yang telah berlangsung di Dewan Terbuka Pisompuruan Square, Pekan Tambunan, Sabah.
Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) dan Lembaga Pertubuhan Peladang.
Program yang bertemakan “Kudrat Kami, Menjamin Pertiwi” itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan serta dihadiri oleh Pembantu Menteri MAFFI.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan merakamkan penghargaan kepada para penerima Anugerah Pencapaian Cemerlang yang terdiri daripada usahawan tani dari kawasan pedalaman Sabah, khususnya Tambunan.
Antara penerima anugerah tersebut termasuklah Hezzro Abie, 32 tahun dari Kampung Kerokot, Tambunan yang berjaya meraih hasil jualan sebanyak 8.3 tan produk pertanian bernilai RM83,000.00.
Usahawan muda ini mengusahakan projek tanaman terung, cili bara, bawang dan sayur-sayuran lain di kampung halamannya.


Sepanjang program, MARDI turut membuka reruai pameran yang menampilkan pelbagai teknologi pertanian terkini seperti teknologi penanaman dan pengendalian lepas tuai bawang (Baw-2); teknologi ayam saga; teknologi nanas ms-16; teknologi Coffea liberica 8, 9, 10; teknologi projek perintis tanaman MARDI; perkhidmatan analisis produk makanan dan pertanian; teknologi kilang tanaman.
Turut dipamerkan ialah fungsi dan peranan MARDI, termasuklah operasi di Sabah serta kemudahan yang ditawarkan oleh Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Usahawan.
Jualan buku penerbitan MARDI turut menarik perhatian ramai pengunjung, terutama dalam kalangan petani dan pengusaha tani.




Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah pegawai jabatan atau agensi, perwakilan badan bukan kerajaan, pihak media dan jemputan khas dalam kalangan penggerak industri pertanian, selain peladang, penternak dan nelayan di seluruh Sabah.




