Diterbitkan pada 7 Mei 2025, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Inisiatif untuk memperkasakan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah diusahakan menerusi Program Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Day) Fakulti Sains Kesihatan (FSK) 2025 anjuran FSK, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri dan MIHA Student Chapter UKM.

Bertemakan “Kesan Pendigitalan dan Kecerdasan Buatan (AI) terhadap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan”, program ini mengetengahkan pendekatan holistik yang menggabungkan elemen akademik, teknologi dan kesedaran awam dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0.

Antara sesi yang mencuri tumpuan dalam program tersebut termasuklah ceramah yang disampaikan oleh Ir. Ts. Ahmad Afiqzul Haq Abdul Razak dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi topik yang bertajuk “Revolusi Digital: Bagaimanakah AI Mengubah Landskap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan?”.

Ir. Ts. Ahmad Afiqzul Haq Abdul Razak ketika berkongsikan tentang teknologi keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Dalam ceramah tersebut, beliau menekankan bahawa pendigitalan, teknologi AI dan teknologi pintar semakin memainkan peranan penting dalam memacu keselamatan dan kesihatan pekerjaan ke arah masa hadapan yang lebih proaktif dan efisien.

Menurut beliau,

Keselamatan tidak lagi bersifat reaktif, sebaliknya perlu bertindak secara pintar dan ramalan dan dengan adanya penggunaan AI, Internet benda dan automasi, kita bukan sekadar mencegah bahaya, malah mampu memantau dan bertindak sebelum sesuatu insiden berlaku.

Turut menyumbang wacana penting dalam program ini ialah wakil dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Puan Nur Fifiana Aris yang berkongsikan tentang platform MyFutureJobs dan skim insurans pekerjaan yang berperanan sebagai pemangkin dalam membuka laluan kerjaya baharu bagi graduan, terutamanya dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar dan berdaya saing.

Ceramah berkaitan dengan platform MyFutureJobs dan skim insurans pekerjaan disampaikan oleh Puan Nur Fifiana Aris.

Pada masa yang sama, eksplorasi keselamatan turut diadakan dengan melibatkan penyertaan aktif daripada kakitangan dan pelajar yang menampilkan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang dinamik.

Menerusi gabungan peta risiko, peralatan keselamatan dan simulasi interaktif, para peserta berpeluang merasai secara langsung teknologi dan data yang dapat dimanfaatkan dengan menggunakan prinsip keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara efektif di tempat kerja.

Kumpulan eksplorasi yang berjaya memenangi hadiah tempat pertama dalam Program OSH Day FSK 2025.

Penganjuran Program OSH Day FSK 2025 turut membuktikan komitmen institusi itu dalam memperkukuh budaya kerja yang selamat, lestari dan inovatif seiring dengan tuntutan era digital.

Inisiatif ini bukan sahaja memberikan kesedaran kepada warga kampus tentang kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, malah menyumbang secara langsung kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, Pendidikan Berkualiti serta Industri, Inovasi dan Prasarana.

Ahli jawatankuasa yang menjayakan Program OSH Day FSK 2025.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi