Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLabu – Sejajar dengan matlamat nasional untuk memperluas penyertaan golongan orang asli dalam program berimpak tinggi, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), program MedSTEM Explorers 2025 telah diadakan untuk mewujudkan kesedaran awal dan memupuk minat murid sekolah rendah yang memberikan penekanan khas dalam bidang kesihatan.
Program pendidikan inovatif yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Kesihatan, KPJ Healthcare University (KPJU) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan dan Pejabat Ahli Parlimen Rasah ini telah mendapat penyertaan sebanyak 80 orang murid sekolah rendah daripada komuniti orang asli di Negeri Sembilan.
Program tersebut menghimpunkan murid daripada empat buah sekolah orang asli dari beberapa daerah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Asli Sungai Sampo, SK Orang Asli Senibai, SK Orang Asli Putra dan SK Tekir selaku tuan rumah bagi program berkenaan.

Program yang berlangsung selama sehari itu juga melibatkan sebanyak 25 orang mahasiswa dan tiga orang pensyarah KPJU daripada pelbagai kursus pengajian, termasuklah Pengimejan Perubatan, Farmasi, Jururawat, Fisioterapi dan Terapi Cara Kerja.
“Murid orang asli mempunyai potensi luar biasa yang perlu digilap melalui pendedahan yang bersesuaian dan program ini merupakan langkah permulaan untuk membuka jalan ke arah masa hadapan mereka yang lebih cerah,” kata wakil Pejabat Parlimen Rasah, Encik Azhar Kasim ketika merasmikan program tersebut.
Sementara itu, Pensyarah Kanan dan Teknologis Profesional di Jabatan Pengimejan Perubatan, KPJU merangkap Pengarah Program, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain berkata, MedSTEM Explorers 2025 direka bagi memberikan pendedahan awal kepada murid mengenai pelbagai peluang kerjaya dalam bidang kesihatan seperti radiografi, kejururawatan, farmasi dan terapi rehabilitasi.
Katanya,
Menerusi aktiviti interaktif seperti eksperimen sains, pembinaan model badan manusia dan simulasi penjagaan kesihatan, murid bukan sahaja belajar konsep asas STEM, malah membina keyakinan dan kemahiran seperti kerja berpasukan dan penyelesaian masalah.

Jelasnya, antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuklah human puzzle untuk mengenal organ badan manusia, membina model sistem peredaran darah dan pengiraan indeks jisim badan serta simulasi mencuci tangan mengikut prosedur kesihatan.
Program ini turut mendapat sambutan yang positif daripada para guru dan ibu bapa yang hadir kerana program berkenaan merupakan peluang yang berharga untuk anak-anak mereka mengenali bidang baharu yang mampu mengubah kehidupan.
Program MedSTEM Explorers 2025 bermatlamat untuk melahirkan lebih banyak murid orang asli yang beraspirasi tinggi dan mampu melanjutkan pelajaran dalam bidang kesihatan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara dalam jangka masa panjang.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, KPJU, YBrs. Profesor Dr. Mohd Azmani Sahar, Guru Besar SK Tekir, Puan Dasmah Mamat dan Tok Batin Kampung Tekir, Encik Ramli Taka.
