Diterbitkan pada 14 April 2025, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bandar Sunway – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, sekali lagi meraih Anugerah Hospital Terbaik (Malaysia) oleh Healthcare Asia Awards 2025, sekali gus menandakan pengiktirafan kali keempat berturut-turut dan belum pernah dicatat sebelum ini.

Melalui peranan 28 buah pusat kecemerlangan dan lebih daripada 60 kepakaran, hospital utama Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway telah menyerlahkan komitmen teguhnya terhadap inovasi, kecemerlangan dalam penyampaian penjagaan kesihatan serta sumbangan besarnya kepada komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC, YBrs. Dr. Seow Vei Ken meluahkan rasa sukacita dan bangganya kerana SMC telah meraih anugerah ini selama empat tahun berturut-turut.

Ujar beliau,

Kemenangan keempat yang bersejarah ini merupakan bukti dedikasi dan semangat pasukan kami yang berterusan dan melampaui jangkaan untuk memberikan penjagaan pesakit yang terbaik secara konsisten.

Beliau juga berkata, menerima pengiktirafan daripada platform terkemuka bukan sahaja mencerminkan pencapaian mereka, malah mengukuhkan komitmen mereka untuk memajukan standard penjagaan kesihatan.

Tambah beliau,

Dalam meraikan pencapaian ini, kami tetap komited terhadap misi untuk berinovasi, memberikan inspirasi dan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia di Asia dan pada peringkat seterusnya.

SMC dinobatkan sebagai hospital terbaik di Malaysia dalam kedudukan Hospital Terbaik Dunia 2025 oleh Newsweek serta tersenarai dalam 250 hospital terbaik pada peringkat global untuk dua tahun berturut-turut.

Hospital ini juga mencapai kejayaan dalam kedudukan Hospital Swasta Terbaik Asia Newsweek 2025, meraih kedudukan ketiga terbaik dalam Oftalmologi dan berada pada kedududkan ke-10 terbaik dalam Ortopedik.

Selain itu, SMC turut tersenarai dalam kedudukan Hospital Pakar Terbaik Asia Pasifik oleh Newsweek bagi tahun 2023 dan tahun 2024.

SMC merupakan hospital yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang memperkenalkan AiBLE™ Spine Surgical Suite, iaitu teknologi berasaskan robotik terkini yang merevolusikan pembedahan tulang belakang dengan ketepatan dan kecekapan.

Hospital berkenaan telah mencipta sejarah dengan memasuki Malaysia Book of Records yang berprestij dan mencatatkan dua rekod penting bagi kategori individu dan korporat, yakni pakar bedah pertama yang menjalankan pembedahan penggantian pinggul keseluruhan berbantukan robotik dan pembedahan penggantian pinggul dan lutut berbantukan robotik terbanyak (1000 prosedur).

Pada masa yang sama, hospital ini juga merupakan hospital pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi utama hospital, iaitu Akreditasi Joint Commission International dari Amerika Syarikat, Australian Council on Healthcare Standards dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia.

Pasukan pelbagai disiplin hospital ini disokong oleh lebih 3800 profesional penjagaan kesihatan dan hospitaliti yang berdedikasi untuk memberikan rawatan peribadi dengan pendekatan penjagaan holistik.

Hospital ini turut mempunyai Jabatan Kecemasan untuk dewasa serta merupakan hospital swasta pertama di Malaysia yang mempunyai Jabatan Kecemasan khusus untuk kanak-kanak.

Healthcare Asia Awards merupakan program berprestij yang mengiktiraf hospital, klinik dan organisasi penjagaan kesihatan terbaik di seluruh Asia yang menunjukkan inovasi luar biasa, menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan penjagaan kesihatan serta memberikan sumbangan besar kepada masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi