Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Aliran inovasi dalam industri akuakultur Malaysia mencapai tahap baharu apabila sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneroka penggunaan teknologi ultrasonografi untuk pemantauan perkembangan gonad ikan kelah tanpa kaedah invasif.
Bengkel bertajuk “Workshop on Ultrasonography Application for Gonad Development Study in Malaysian Mahseer” yang berlangsung di Aqua 1 Office dan Hatchery, Agro-Biotechnology Institute (ABI) Bangi telah menghimpunkan para penyelidik dan pengusaha akuakultur yang komited untuk menyelamatkan spesies ikan bernilai tinggi yang semakin terancam ini.
Teknologi ultrasonografi yang diperkenalkan menawarkan kaedah pemantauan gonad yang lebih efisien dan tidak invasif, sekali gus mengurangkan tekanan kepada ikan dan meningkatkan peluang kejayaan dalam program pembiakan terkawal.
Encik Tan Chun Keat, penyelidik ABI yang mengetuai sesi demonstrasi secara langsung memperlihatkan kepada para peserta teknik penggunaan ultrasonografi untuk menilai organ gonad ikan kelah dengan tepat dan tanpa menjejaskan kesihatan ikan tersebut.
Para peserta bengkel turut berpeluang mendapat pengalaman praktikal mengendalikan peralatan ultrasonografi dan mempelajari kaedah mentafsirkan imej gonad bagi menentukan tahap kematangan ikan dengan lebih efisien.
Walaupun teknologi ini menjanjikan peningkatan dalam pengurusan pembiakan ikan kelah, beberapa cabaran tetap wujud seperti kos peralatan yang tinggi dan keperluan latihan khusus bagi memastikan ketepatan dalam pengendalian ultrasonografi.


“Latihan yang berterusan dan kerjasama antara sektor akademik dengan industri amat penting bagi memastikan teknologi ultrasonografi ini dapat dimanfaatkan secara meluas dalam industri akuakultur tempatan,” ujar Dr. Norhashimah Mohd Norsuddin dari UKM.
Perbincangan mengenai potensi penggunaan teknologi ultrasonografi untuk pemuliharaan spesies ikan lain yang terancam turut menjadi fokus dalam bengkel tersebut yang membuka ruang untuk kegunaan yang lebih meluas dalam usaha pemuliharaan biodiversiti akuatik negara.
Bengkel sehari ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada teknologi moden, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara penyelidik akademik dengan penggiat industri akuakultur.