Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Penutup dan Penyerahan Sijil Profesional Rehabilitasi Industri (SPRI) Sesi 2024 telah berlangsung dengan penuh meriah bagi meraikan pencapaian 12 graduan serta mengiktiraf usaha dan dedikasi mereka sepanjang tempoh pengajian selama lapan minggu.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur YBhg. Profesor Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid.
“Majlis ini bukan sekadar meraikan kejayaan para graduan, malah melambangkan komitmen UKM dan PERKESO dalam memperkukuh bidang rehabilitasi pekerjaan di Malaysia,” jelas beliau dalam ucapan perasmiannya,
SPRI diharapkan akan terus berkembang dan diteruskan agar manfaatnya dapat dirasakan oleh pekerja, majikan, masyarakat dan negara melalui latihan profesional yang dilatih melalui program ini.
SPRI merupakan hasil kerjasama strategik antara Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam usaha memperkasa bidang rehabilitasi industri di Malaysia.
Program ini juga bertujuan melahirkan tenaga profesional yang berkemahiran tinggi dalam bidang rehabilitasi pekerjaan bagi membantu pekerja yang mengalami kecederaan atau penyakit untuk kembali bekerja dengan selamat, terurus dan berkesan.

Dalam program ini, Anugerah Graduan Terbaik dinobatkan kepada Mohd Azam Abdul Halim atas kecemerlangannya dalam peperiksaan dan tugasan dalam kursus SPRI ini.
Mohd Azam Abdul Halim menyatakan penghargaan kepada tenaga pengajar dan pihak PERKESO atas peluang serta ilmu yang diberikan sepanjang kursus SPRI.
“SPRI bukan sahaja memperkaya ilmu kami, bahkan mengukuhkan kerjaya dalam bidang yang kian penting di Malaysia dan saya berharap agar program ini terus diperluas agar lebih banyak orang mendapat manfaatnya,” ujar beliau.

Sepanjang kursus SPRI, para graduan didedahkan dengan ilmu teori dan praktikal yang komprehensif bagi memperkukuh keupayaan mereka dalam merawat serta memulihkan pekerja yang mengalami kecederaan atau gangguan kesihatan untuk kembali bekerja.

Mereka juga berpeluang melawat Pusat Rehabilitasi PERKESO bagi memahami secara mendalam proses pemulihan industri yang dijalankan selain mewajibkan graduan menjalani sangkutan industri bagi mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus.
SPRI berperanan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang rehabilitasi industri di Malaysia.
Program ini bukan sahaja membolehkan graduan memberikan rawatan yang berkesan kepada pesakit, malah turut membantu mengurangkan beban ekonomi ke atas individu, keluarga dan negara.
Selain itu, SPRI meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan dengan melatih graduan sebagai agen perubahan dalam mendidik majikan dan pekerja mengenai strategi pencegahan kecederaan serta amalan kerja yang lebih selamat.
Turut hadir dalam program ini ialah Dekan FSK, UKM, Profesor Dr. Suzana Shahar; Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat FSK, Profesor Madya Dr. Zahara Abd Manaf; Pengerusi Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab), FSK Prof. Madya Dr. Nor Azlin Mohd Nordin; Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan PERKESO, Dr. Azlan Darus; Penyelaras SPRI 2024, Dr. Hanif Farhan Mohd Rasdi; serta Penyelaras Sijil Profesional Rehabilitasi Pulmonari (SPRP) 2025, Dr. Nor Azura Azmi.