Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban 2 – KPJ Healthcare University (KPJU) telah menjayakan Seminar Kesedaran Kanser dan Pencegahan Awal dengan memperkenalkan inovasi pemeriksaan mamografi dan pemeriksaan sendiri payudara (PSP) serta pendidikan kesihatan interaktif kepada hampir 200 jururawat dalam program WCaRe di Dewan Pavillion, Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Seremban 2.
Program ini merupakan inisiatif Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) Cawangan Negeri Sembilan dengan kerjasama LPPKN Negeri Sembilan bertujuan mempromosikan kesedaran dan saringan kanser reproduktif wanita.

Perasmian program telah disempurnakan oleh Pengerusi MNA Cawangan Negeri Sembilan, Puan Azizaton Abd Aziz dengan kehadiran wakil LPPKN Negeri Sembilan, Puan Anizzaliza Adam.
Dalam ucapannya, Puan Azizaton Abd Aziz menegaskan kepentingan jururawat mengutamakan kesihatan diri dengan menjalani pemeriksaan berkala dan mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan mereka dapat berkhidmat dengan berkesan.
“Jururawat wanita, seperti wanita lain adalah berisiko menghidap kanser reproduktif seperti kanser payudara dan kanser serviks. Justeru itu, adalah penting untuk jururawat menjalani saringan awal pencegahan kanser ini,” ujar beliau.
Selain itu, beliau menyeru agar jururawat memainkan peranan sebagai pendidik kesihatan kepada komuniti bagi meningkatkan kesedaran mengenai pengesanan awal dan pencegahan kanser ini.
Sementara itu, Profesor Ts Dr Norhayati Mohd Zain dari KPJU turut memperkenalkan aplikasi pembelajaran kesihatan payudara dengan pilihan dwibahasa yang menyediakan maklumat dalam bentuk video pendidikan dan infografik yang mudah diakses oleh masyarakat.

Menurutnya, pendekatan interaktif menerusi aplikasi ini dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan berkesan kepada pengguna pada pelbagai peringkat umur.
Para peserta turut diberikan peluang untuk mempelajari teknik PSP menerusi demonstrasi menggunakan fantom yang menyerupai tisu payudara manusia.
“Inisiatif ini diharapkan membantu meningkatkan pemahaman peserta terhadap proses pengesanan awal kanser payudara serta mengubah persepsi terhadap pemeriksaan mamogram yang ditawarkan menerusi kempen WCaRe,” jelas beliau lagi.
Beliau turut menyatakan harapan agar inisiatif ini dapat meningkatkan keyakinan dan kesediaan wanita, khususnya jururawat untuk mengambil langkah pencegahan proaktif demi kesihatan mereka.
Dalam jangka panjang, usaha ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti hidup serta mengurangkan beban kesihatan akibat kanser payudara dalam masyarakat.
Program ini turut merangkumi sesi senamrobik serta ceramah kesihatan oleh Dr. Norhidayah Othman dan Puan Ratifah Mohd Baki dari LPPKN Negeri Sembilan.

Beberapa reruai pameran kesihatan turut disediakan dengan penyertaan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.