Diterbitkan pada 23 Januari 2025, 09:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Lebih daripada 200 wanita dari pelbagai agensi telah berkumpul di Pusat Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Negeri Sembilan untuk menyertai Program Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Sembilan.

Dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN Negeri Sembilan, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya penjagaan dan saringan kesihatan serviks.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Yang berhormat Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim bersama-sama Timbalan Pengerusi LPPKN, Puan Juwairiya Zulkifli dan Pengarah LPPKN Negeri Sembilan, Encik Azlan Shah Nazrudin.

Sebagai sebahagian dari program, sesi ceramah dan taklimat kesihatan telah disampaikan oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital UCSI, Dr. Jamali Wagiman serta wakil daripada LPPKN Negeri Sembilan, Dr. Norhidayah Othman dan Puan Rahayu Bakar.

Empat orang mahasiswa bersama-sama tiga pensyarah dari KPJ Healthcare University (KPJU) turut memeriahkan program ini dengan mengendalikan reruai khas yang memberikan fokus kepada kesihatan payudara wanita, termasuklah tayangan video inovasi mengenai pemeriksaan mamografi dan panduan pemeriksaan sendiri payudara (PSP).

Pensyarah Kanan di Jabatan Pengimejan Perubatan, KPJU, Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain menyatakan harapan agar inisiatif mereka dapat membantu peserta memahami proses pengesanan awal kanser payudara dengan lebih jelas.

“Inisiatif yang diambil oleh KPJU ini diharap dapat membantu peserta yang hadir menerapkan prasangka positif mengenai aktiviti pengesanan awal kanser payudara, terutama pemeriksaan mamogram” ujar Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain lagi.

Peserta program mendapatkan maklumat mengenai program subsidi ujian mamogram serta berpeluang menonton video pembelajaran PSP dan mamogram.
Demonstrasi teknik PSP dengan menggunakan fantom tisu payudara telah menarik minat peserta program untuk mempelajari teknik tersebut dengan lebih lanjut.

Menurut Pengarah LPPKN Negeri Sembilan, Encik Azlan Shah, pendekatan ini adalah sangat signifikan dalam menyokong Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita, iaitu WCare yang diperkenalkan oleh KPWM.

Kempen WCare mempromosikan program saringan awal kanser yang merangkumi Program Saringan Kanser Serviks, iaitu ujian papilomavirus manusia (HPV)/asid deoksiribonukleik (DNA) serta program subsidi ujian mamogram.

“Aktiviti seperti ini dapat meningkatkan kefahaman dan pengetahuan masyarakat tentang pentingnya mendapatkan saringan awal kanser payudara, seterusnya membantu mempromosikan program subsidi ujian mammogram yang terkandung dalam Kempen WCare” ujar beliau.

Peserta program menunjukkan respons yang sangat positif dan minat yang tinggi terhadap informasi serta demonstrasi yang disampaikan yang memperkuat lagi kepentingan pendidikan dan saringan awal dalam usaha pencegahan kanser.

Sebahagian daripada peserta yang hadir mendengar ceramah kesihatan.

Sementara itu, pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan turut memeriahkan acara dengan mengadakan pameran kesihatan yang meliputi pelbagai aspek penjagaan kesihatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi