Diterbitkan pada 21 Januari 2025, 17:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seri Iskandar – Dalam langkah memperkasakan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi, khususnya sains kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan lawatan kerjasama ke Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

Lawatan ini diketuai oleh Dekan, FSK, Profesor Dr. Suzana Shahar dan disertai oleh 20 peserta, termasuklah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FSK, Profesor Madya Dr. Satirah Zainalabidin serta mantan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Norfadilah Rajab.

Lawatan ini disambut dengan penuh mesra oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (TREx) di UTP, Profesor Madya Ts. Dr. Noor Amila Wan Abdullah Zawawi.

Dalam ucapan alu-aluannya, Profesor Madya Ts. Dr. Noor Amila Wan Abdullah Zawawi menyuarakan komitmen UTP untuk mengukuhkan hubungan kerjasama dengan UKM dalam penyelidikan neuroteknologi.

Bidang ini yang merupakan satu daripada cabang penting dalam sains kesihatan menawarkan peluang yang besar dalam penemuan dan inovasi yang dapat membawa manfaat yang lebih luas kepada masyarakat.

Beliau menekankan bahawa kerjasama ini akan membolehkan kedua-dua institusi tersebut memanfaatkan kepakaran dan sumber yang ada untuk meneroka aspek baharu dalam teknologi kesihatan, khususnya dalam kajian dan aplikasi yang berkaitan dengan fungsi otak.

“Usaha bukan sahaja akan merancakkan lagi penyelidikan dan pengembangan ilmu dalam bidang neuroteknologi, malah akan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup dan kesihatan umum,” jelasnya lagi.

Satu daripada agenda utama lawatan adalah untuk melawat Centre for Intelligent Signal and Imaging Research (CISIR) di UTP, sebuah makmal penyelidikan yang terkemuka dalam bidang neuroteknologi.

Profesor Madya Dr. Tang Toon Boon yang merupakan pakar di makmal tersebut telah memberikan penerangan mendalam tentang teknologi canggih yang digunakan untuk penilaian dan intervensi otak.

Profesor Madya Dr. Tang Toon Boon memberikan penjelasan kepada delegasi UKM mengenai penyelidikan yang dijalankan di CISIR, UTP.

Delegasi UKM juga berkesempatan untuk menguji Optical-Topography Hub (OTP-HUB), iaitu peranti yang mengesan fungsi otak semasa aktiviti harian, bermula dari bayi hingga ke usia emas.

Peserta delegasi UKM diberikan peluang untuk menggunakan OTP-HUB di Makmal CISIR, UTP.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi